SUKAN > BERITA

Jaringan Minit Akhir Josue Bawa KL City Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

15/02/2026 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Kuala Lumpur (KL) City FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/2026, sekali gus mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 3-2 di sini, hari ini.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, KL City bermula goyah apabila Muhammad Akhyar Abdul Rashid meletakkan TFC di hadapan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Quincy Kammeraad pada minit ke-20.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad tuan rumah kendalian Risto Vidakovic meningkatkan asakan, namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-78 untuk menyamakan kedudukan melalui penyerang import Victor Ruiz.

Ruiz bijak menghidu ruang untuk membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum menyudahkan hantaran lintang Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri dari sebelah kanan.

Ketika perlawanan seakan berlanjutan ke masa tambahan, kapten KL City Paulo Josue muncul wira skuad Warga Kota apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Josue dengan tenang menolak masuk bola selepas menerima hantaran bijak Ruiz dalam kotak penalti, sekali gus memastikan kemenangan dramatik KL City di hadapan kira-kira 2,000 penonton.

KL City yang merupakan juara edisi 2021 kini menanti pemenang antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka FC yang akan membuat penentuan pada aksi suku akhir kedua 22 Feb ini dengan skuad Harimau Selatan ketika ini selesa mendahului 5-0 secara agregat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan