KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 selepas mengungguli kesemua empat acara pada hari terakhir saingan di Stadium Juara Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam kejohanan yang dijalankan mengikut format rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu, skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Fairul Izwan Abd Muin membuktikan penguasaan masing-masing dalam acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.
Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar membuka tirai kejayaan Malaysia selepas menewaskan pasangan Hong Kong Cheryl Chan-Helen Cheung 2-1 dalam final pairs wanita.
Kejayaan kem negara seterusnya hadir menerusi kemenangan wakil Malaysia B, Nor Farah Ain Abdullah yang menjuarai singles wanita selepas mengatasi Nayanmoni Saikia dari India 2-1.
Gandingan pairs lelaki Malaysia B, Muhammad Naufal Azmi-Fadley Jabal menambah keceriaan kem negara selepas menundukkan Alex Brennan-Trystan Smallacombe dari Wilayah Utara Australia 2-1 sebelum wakil singles lelaki Malaysia A, Izzat Shameer Dzulkeple melengkapkan kejayaan apabila mengatasi Shannon Mcilroy dari New Zealand Silver 2-1 dalam final lelaki singles.
Berdasarkan kutipan mata, Malaysia B dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul 25 mata, diikuti Malaysia A kedua, berkongsi 24 mata dengan New Zealand Silver di kedudukan ketiga.
Fairul Izwan berkata kejohanan ini menjadi titik permulaan penting dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026, sambil mengakui masih terdapat beberapa aspek perlu diperhalusi dan dipertingkatkan.
“Sejujurnya, saya berpuas hati tetapi pasukan A adalah pasukan yang disasarkan (juara) pada asalnya tapi berlaku sebaliknya, namun masih dalam sasaran kami iaitu muncul juara keseluruhan kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Nor Farah dapat menyesuaikan diri dengan format kejohanan kali ini termasuk pelaksanaan sistem pemasa (timer).
“Saya pernah bermain dalam format ini sebelum ini. Bagi saya ia (pemasa) dan tempoh masa 30 saat sebenarnya okey, satu lagi perlawanan akan jadi lebih cepat,” kata atlet berusia 25 tahun itu.
Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 membariskan Malaysia, New Zealand, India, Hong Kong, Singapura dan Wilayah Utara Australia turut menjadi platform persediaan awal dan medan pemilihan skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel 2026, Julai depan.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial