KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas pada temasya Sukan SEA 2027 tahun depan yang akan dianjurkan Malaysia.
Setiausaha Kehormatnya Datuk Mejar (B) Yap Mou Soon berkata sasaran itu realistik memandangkan pihaknya merancang untuk memasukkan acara endurance dalam program sukan berkenaan, iaitu disiplin yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Skuad ekuestrian sentiasa membawa pulang pingat setiap kali beraksi di luar negara dan kami berharap dapat mengulangi pencapaian itu di laman sendiri.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kami pada Sukan SEA Malaysia adalah untuk memenangi enam pingat emas,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil di sini hari ini.
Mou Soon berkata EAM akan mencadangkan tujuh acara untuk dipertandingkan iaitu show jumping (berpasukan dan individu), dressage (berpasukan dan individu), eventing (berpasukan dan individu) serta endurance yang tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa penganjur.
Beliau berkata cabaran utama bagi merealisasikan genggaman pingat emas itu adalah bagi mendapatkan kuda yang berkualiti.
“Kuda juga adalah atlet. Negara seperti Thailand kini menggunakan kuda yang sangat mahal, jadi kita juga perlu meningkatkan tahap dalam aspek ini,” katanya.
EAM dalam pada itu menyasarkan dua pingat emas di Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 yang akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
“Kami berharap dapat memenangi satu emas menerusi acara dressage individu dan satu lagi emas dalam acara show jumping individu,” katanya.
Harapan negara itu disandarkan kepada Megan Ding (dressage) dan Shoorendran Nageswaran (show jumping).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial