KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Malaysia sudah mengesahkan satu slot suku akhir apabila bakal menyaksikan dua beregu lelaki negara dijadualkan membuat perhitungan sesama sendiri pada pusingan kedua kejohanan All England 2026 hari ini.
Dalam aksi di Utilita Arena Birmingham pada Rabu, gandingan kedua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mudah mengetepikan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-17, 21-17 manakala Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menewaskan wakil Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard 21-19, 18-21, 21-18.
Rekod pertemuan kedua-dua pasangan negara ini berpihak kepada Aaron-Wooi Yik, dan ini merupakan pertarungan kali ketiga mereka selepas Terbuka Thailand dan Kejohanan Dunia tahun lepas.
Turut mara pasangan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berjaya menyingkirkan Kakeru Kugamai-Hiroki Nishi dari Jepun 21-10, 21-15.
Beregu kelapan dunia itu dijadualkan melakukan perhitungan dengan Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia yang menundukkan gandingan Taiwan Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-10, 21-16.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan keenam, turut bermula dengan baik apabila mudah menewaskan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen 21-17, 21-16 untuk melangkah ke pusingan kedua berdepan satu lagi wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin.
Sementara itu, seperti dijangkakan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida 21-19, 21-13 dalam masa 46 minit.
Pasangan kedua dunia itu dijadualkan bertemu pasangan Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo yang dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan wakil Amerika Syarikat Lauren Lam-Allison Lee Quiynh 21-19, 15-21, 21-17.
Nasib berbeza buat satu lagi beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tersingkir selepas tunduk kepada pilihan kelima dari Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 17-21, 8-21.
Turut terkandas beregu campuran profesional negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas kepada wakil China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 21-17, 12-21, 9-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial