KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal tidak menganggap kegagalan skuad hoki lelaki negara menaiki podium di Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir pada Sabtu sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Beliau berkata sebaliknya kejayaan Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Dunia perlu dilihat sebagai satu pencapaian besar kerana hanya 16 pasukan terbaik layak beraksi di pentas dunia itu.
Katanya banyak pihak terlepas pandang hakikat itu apabila terlalu memberi tumpuan kepada kedudukan pasukan dalam kejohanan kelayakan.
“Bagi saya ia bukan sesuatu yang mengecewakan. Kita sudah layak ke Piala Dunia dan itu adalah pencapaian. Ramai orang tidak sedar perkara ini. Untuk layak ke Piala Dunia, anda perlu berada dalam kelompok 16 terbaik.
“Walaupun berdepan kekangan dana dan penaja, kita masih mampu layak ke Piala Dunia empat kali berturut-turut. Jadi saya tidak nampak sebab untuk kita terlalu negatif dengan pencapaian ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.
Subahan berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemain serta barisan kejurulatihan bagi menilai prestasi keseluruhan serta merangka penambahbaikan menjelang kejohanan akan datang.
Skuad hoki lelaki negara tewas 4-5 kepada Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir pada Sabtu.
Bagaimanapun, skuad negara masih layak ke Piala Dunia Hoki 2026 Belanda-Belgium, apabila ranking dunia semasa menyaksikan Malaysia di tangga ke-15, mengatasi Wales di tangga ke-16 dan Poland di tangga ke-20 yang beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu lagi pusingan kelayakan.
-- BERNAMA
IZZA IZZA HER
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial