SUKAN > BERITA

ACLE: JDT Mara Ke Suku Akhir

11/03/2026 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACL Elite) 2025/26 selepas menang dengan agregat 3-2 ke atas Sanfrecce Hiroshima hari ini.

Meskipun tewas 0-1 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Edion Peace Wing Hiroshima, JDT melakar kejayaan itu selepas mencatat kemenangan 3-1 pada pertemuan pertama di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 Mac lepas.

Pada perlawanan hari ini, kelab Jepun itu melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu JDT untuk memburu gol, namun kekebalan benteng pasukan pelawat menyaksikan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Pada babak kedua, percubaan pasukan tuan rumah untuk mencari gol terus buntu apabila serangan yang diaturkan acapkali dipatahkan pertahanan JDT.

Sanfrecce Hiroshima bagaimanapun dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas bola terkena pemain tengah JDT Nene.

Peluang itu nyata tidak disia-siakan apabila Kosuke Kinoshita tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada tuan rumah.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak cukup melayakkan Sanfrecce Hiroshima ke suku akhir selepas tewas dengan agregat 3-2.

Bagi JDT pula, kejayaan mara ke suku akhir adalah pencapaian terbaik kelab dari Malaysia sejak kejohanan itu dijenamakan semula pada 2023.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan