SUKAN > BERITA

Dari Kedudukan Tercorot, Hakim Danish Bangkit Kutip Tiga Mata Di GP AS

30/03/2026 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mengutip tiga mata berharga selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 pada Grand Prix Amerika Syarikat (GP AS), awal pagi tadi.

Pelumba berusia 18 tahun negara itu bermula dengan detik sukar dalam pusingan ketiga selepas terjatuh pada sesi kelayakan pertama (Q1), yang menyebabkan beliau terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-25.

Namun, pelumba pasukan AEON-Credit MT Helmets-MSi kelahiran Kuala Terengganu itu mempamerkan semangat juang yang tinggi serta tunggangan konsisten dari kedudukan tercorot untuk memintas beberapa pelumba handalan sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok penamat pungutan mata.

Perlumbaan dimenangi pelumba Itali Guido Pini (Leopard Racing), diikuti pendahulu kejuaraan Maximo Quiles (CFMOTO Valresa Aspar Team) di tempat kedua manakala Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) melengkapkan podium.

Keputusan diperoleh di Litar Austin itu menyaksikan Hakim Danish kini mengumpul sembilan mata dan menghuni tempat ke-14 daripada 27 pelumba dalam carta Kejuaraan Dunia Moto3.

Pelumba muda negara itu bakal meneruskan saingan pada GP Sepanyol di Litar Jerez pada 24 April ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan