KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Tiga pasangan beregu campuran Malaysia termasuk juara dunia semasa Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 dengan langkah positif apabila melepasi pusingan pembukaan di di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, hari ini.
Pasangan pilihan keempat itu, Tang Jie-Ee Wei menempah tiket ke pusingan kedua apabila hanya memerlukan 36 minit untuk menewaskan wakil Jepun, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa 21-10, 21-19.
Pasangan negara nombor empat dunia itu dijadual berdepan sama ada pasangan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard atau wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto di pusingan kelompok 16 terbaik.
Sementara itu, pasangan berpengalaman Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menempah tempat di pusingan kedua selepas menewaskan wakil India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani 21-13, 21-19 dalam masa 34 minit.
Pasangan suami isteri itu akan berdepan pemenang perlawanan esok antara pasangan Bangladesh, Al-Amin Jumar-Urmi Akter atau wakil Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Pasangan profesional negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sen menjadi pasangan ketiga mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-16, 21-15.
Namun, mereka bakal menghadapi ujian getir apabila menentang pasangan pilihan keenam Guo Xin Wa-Chen Fang Hui selepas psangan China itu menumpaskan wakil Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin 21-17, 21-18 pada perlawanan pembukaan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial