SUKAN > BERITA

Muhammad Rafiq Tekad Bangkit Pada Terbuka Thailand

14/04/2026 05:40 PM

PETALING JAYA, 14 April (Bernama) -- Atlet boling negara Muhammad Rafiq Ismail bertekad untuk bangkit pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 20 April ini.

Muhammad Rafiq berkata beliau menyedari prestasinya masih belum berada pada tahap terbaik, namun akan menjadikan kejohanan pertama musim ini sebagai platform penting untuk kembali menemui rentak kemenangan.

“Saya agak kecewa dengan persembahan sebelum ini dan tahun ini saya harap dapat bangkit semula,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) di Mega Lanes, Sunway di sini hari ini.

Muhammad Rafiq berkata fokusnya kini terarah kepada beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka Thailand yang juga sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan lebih besar.

Beliau berkata setiap kejohanan yang disertai selepas ini termasuk pada Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia akan digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasi, sekali gus membolehkannya terpilih dalam senarai pemain skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia.

Dengan ketiadaan acara boling pada temasya Sukan Asia 2026 di Jepun, Muhammad Rafiq berkata sasaran utamanya musim ini adalah untuk beraksi pada Kejohanan Asia yang bakal menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) buat dirinya.

“Untuk tahun ini, saya lebih fokus kepada pemilihan ke Kejohanan Asia. Itu adalah KPI utama kami bagi tahun ini.

“Untuk layak ke kejohanan itu, pemilihan adalah menerusi kejohanan-kejohanan terbuka akan datang. Jadi, fokus saya lebih terarah kepada Terbuka Thailand, Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia serta beberapa kejohanan lain,” kata atlet berusia 29 tahun itu.

Sementara itu, Muhammad Rafiq memaklumkan beliau tidak bercadang untuk menyertai kejohanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat, lima hari selepas Terbuka Thailand.

“Mengikut jadual, kejohanan seterusnya berlangsung lima hari selepas Terbuka Thailand, namun saya rasa saya tidak akan menyertainya. Antara sebab adalah keadaan semasa dunia.

“Ketika berada di sana sebelum ini, saya terpaksa menunda penerbangan dan menanggung kos tambahan untuk perubahan tiket. Saya merasakan itu adalah kos yang tidak perlu saya tanggung,” katanya.

Terdahulu, Majlis Aidilfitri MTBC yang julung kali diadakan itu berlangsung meriah dengan kehadiran Presiden MTBC Datuk Mohd Najeeb Abdullah, wakil persatuan sukan lain serta atlet negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan