ALOR SETAR, 14 April (Bernama) -- Sebanyak tujuh atlet berbasikal yang sedang bertanding dalam Karnival Bakat Olimpik Kebangsaan (KBOK) 2026 mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan di Jitra, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din berkata dua atlet mengalami kecederaan serius, manakala lima lagi hanya cedera ringan.
“Maklumat awal yang kita terima daripada pihak Majlis Sukan Negeri (MSN), berlaku pecutan awal kira-kira 100 meter (m) sebaik perlumbaan bermula dan perkara itu telah menyebabkan pelumba bergesel antara satu sama lain sebelum terjatuh.
“Akibat daripada itu, dua atlet dari Sarawak dan Johor mengalami patah di pergelangan tangan kanan, manakala atlet yang lain hanya luka ringan. Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata kemalangan seperti itu tidak dapat dielakkan kerana menjadi antara cabaran yang sering dihadapi atlet sama ada dalam sukan berbasikal mahupun sukan yang lain.
“Setakat ini, semua sukan yang dipertandingkan berjalan dengan lancar dan kita berharap semua atlet dapat menghabiskan KBOK dengan baik dan tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
KBOK 2026 yang berlangsung di Kedah dari 11 hingga 15 April itu melibatkan lebih 1,700 atlet dari 14 negeri yang bersaing dalam sembilan jenis sukan termasuk berbasikal, angkat berat, karate dan skuasy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial