SUKAN > BERITA

Ayush Shetty Tekad Memanfaatkan Sepenuhnya Debut Piala Thomasnya

27/04/2026 06:26 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), 27 April (Bernama) -- Tiada ruang untuk menganggap mudah, tidak akan bermain secara selamat.

Pemain perseorangan lelaki India yang sedang meningkat naik Ayush Shetty, mahu penampilan sulungnya di Piala Thomas edisi 2026 di sini membawa satu makna sahaja, iaitu dengan memenanginya.

Disokong oleh barisan asas yang menjulang gelaran bersejarah 2022 di Bangkok, pemain berusia 20 tahun itu percaya India memiliki pengalaman dan keazaman untuk mara sehingga ke perlawanan akhir sekali lagi.

“Kami mempunyai pasukan yang sangat kuat dan kami percaya kami mampu melakukannya. Kami mahu membawa pulang piala itu.

“Kami mempunyai pemain perseorangan lelaki yang mantap serta gandingan beregu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, kami memiliki pengalaman dan tenaga,” katanya kepada Bernama.

Selain Satwiksairaj-Chirag, anggota lain skuad India yang memenangi piala itu pada 2022 dan turut beraksi di sini ialah pemain perseorangan Lakshya Sen, Kidambi Srikanth dan H.S. Prannoy, serta pemain beregu M.R. Arjun dan Dhruv Kapila.

Ayush turut berkata bahawa berkongsi pentas bersama juara-juara tersebut menambahkan lagi semangatnya untuk membantu India menjulang gelaran Piala Thomas kedua mereka di sini.

Walaupun corak permainan menyerangnya kini menjadi kekuatan utamanya, pemenang pingat perak Kejohanan Badminton Asia 2026 itu berkata masih terdapat ruang untuk beliau terus berkembang.

Pemain ranking ke-18 dunia itu juga menghargai peranan jurulatihnya dari Indonesia Irwansyah Adi Pratama, yang bimbingannya telah mendorong beliau sehingga berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia ketika ini.

Irwansyah sebelum ini merupakan individu di sebalik kebangkitan pemain perseorangan lelaki utama Indonesia iaitu Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting.

Di luar gelanggang, Ayush berkata beliau mendapat inspirasi daripada bekas pemain nombor satu dunia dari Denmark Viktor Axelsen, seorang pemain yang dirasakannya serasi bukan sahaja dari segi gaya permainan, malah juga fizikal.

Pusingan Akhir Piala Thomas 2026 yang bermula pada 24 April akan berlangsung sehingga 3 Mei.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan