SUKAN > BERITA

KBS Sedia Tingkatkan Geran Padanan Sukan Bagi Kejohanan Muay Thai Antarabangsa

04/05/2026 08:07 AM

TAIPING, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia meningkatkan jumlah peruntukan Geran Padanan Sukan (GPS) bagi penganjuran Malaysia International Muay Championship (MIMAC) pada masa hadapan supaya kejohanan itu terus dianjurkan dengan cemerlang.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata komitmen itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkasakan sukan pada peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Kita ada Dana Sukan Komuniti, GPS dan untuk MIMAC 3.0 kali ini kita meluluskan RM150,000. Saya tengok kali ini berjaya, dan insya-Allah kalau nak diteruskan MIMAC yang akan datang, kita akan up (tambah) lebih tinggi daripada RM150,000 Geran Padanan Sukan yang kita berikan pada tahun ini," katanya ketika berucap merasmikan penutup MIMAC 3.0, di sini malam tadi.

Dr Mohammed Taufiq berkata sukan Muay Thai kini antara sukan masa depan negara berdasarkan pencapaian membanggakan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, yang menyaksikan skuad negara berjaya membawa pulang 10 pingat secara keseluruhan bagi sukan itu.

Beliau berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan khususnya menjelang Sukan SEA 2027 apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah, sekali gus memerlukan persediaan rapi bermula daripada pembangunan atlet pada peringkat akar umbi.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mohammed Taufiq berkata dengan geran itu beliau berharap penganjuran MIMAC dapat melahirkan lebih ramai atlet pada peringkat akar umbi, selain kejohanan seumpama itu turut diadakan di banyak tempat atau negeri lain.

Beliau juga memberikan jaminan akan meninjau keadaan gelanggang serta pusat latihan Muay Thai di daerah ini yang dilaporkan usang dan memerlukan penambahbaikan segera bagi memastikan kebajikan atlet terpelihara.

"Insya-Allah kita akan melihat sebab ini adalah permohonan pertama dan juga secara rasmi belum lagi kita terima, tetapi saya dah mengambil maklum perkara tersebut dan kita akan turun melihat sendiri apa keperluan yang diperlukan dan sudah pasti ia perlu melalui proses yang telah pun ditetapkan. 

"Jadi saya mengambil itu sebagai satu komitmen untuk kita melihat dan turun sendiri sebab kita nak sediakan platform (sukan) yang lebih banyak untuk masyarakat," katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Tomoi Perak Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab dalam ucapannya berkata 14 kelab gabungan di bawah Persatuan Tomoi Perak dan mempunyai kira-kira 2,000 ahli memohon kelulusan peruntukan bagi menambah baik fasiliti serta membina sebuah gelanggang induk untuk persatuan itu.

Dalam perlawanan malam tadi, petinju negara Muhammad Nazifi Mat Nasir atau lebih dikenali dengan gelarannya GPY Ciko menang kategori 68-70 kilogram (kg) ketika menentang Ousama Taoud dari Maghribi bagi merangkul tali pinggang Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak Muhammad Naim Al Amin Saharudin menerusi keputusan disqualification pada pusingan pertama.

Perlawanan lain pula melibatkan petinju Thailand, Phetpairin membawa pulang tali pinggang Menteri Belia dan Sukan YB Dr Mohammed Taufiq Johari selepas menewaskan atlet muda negara Iskandar Danish Mohd Ezry menerusi knockout pada pusingan pertama bagi kategori 47 kg.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Pettikca Petpanwasa dari Thailand menewaskan Tisya (Malaysia) bagi kategori wanita 49 hingga 50 kg menerusi keputusan juri selepas tiga pusingan penuh, manakala Mehdi (Maghribi) menang secara technical knockout di pusingan kedua ketika berdepan Muhammad Ali Imran (Malaysia) bagi kategori 67 kg.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan