Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 4 Mei (Bernama) -- Pemain beregu lelaki China, He Ji Ting memuji semangat juang kapten pasukan Shi Yu Qi yang membantu negara ini mempertahankan kejuaraan Piala Thomas selepas menewaskan Perancis 3-1 pada perlawanan akhir edisi 2026 di Forum Horsens, malam tadi.
Ji Ting berkata meskipun pemain nombor satu dunia perseorangan lelaki itu tidak berada pada tahap fizikal terbaik susulan mengalami gastroenteritis baru-baru ini, semangat yang dipamerkannya dalam perlawanan pembukaan menentang pemain nombor empat dunia Christo Popov menjadi pemangkin kepada kejayaan.
“Selaku ketua beliau bertindak sebagai tonggak yang menstabilkan pasukan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Walaupun mendapat tentangan sengit dari Perancis, Ji Ting berkata beliau gembira rakan sepasukannya kekal tenang, menampilkan permainan yang yakin dan akhirnya berjaya membawa pulang trofi buat kali ke-12.
China membuka tirai kemenangan apabila Yu Qi mengharungi pertarungan selama 85 minit untuk menundukkan tentangan hebat Christo dengan keputusan 21-16, 16-21, 21-17 dalam aksi pembukaan yang mendebarkan.
Perancis bangkit menyamakan kedudukan menerusi perseorangan kedua dan pemain nombor 10 dunia Alex Lanier, yang mengejutkan pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng 21-13, 21-10 dalam tempoh 43 minit.
Bagaimanapun, China kembali menguasai perlawanan ketiga apabila pemain perseorangan ke-15 dunia Weng Hong Yang menewaskan pemain nombor 17 dunia Toma Junior Popov 22-20, 20-22, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 96 minit.
Ji Ting bersama gandingannya Ren Xiang Yu mengesahkan kejuaraan apabila menewaskan pasangan nombor 52 dunia Eloi Adam-Leo Rossi 21-13, 21-16.
Sementara itu, Toma Junior menyifatkan pengalaman itu sebagai luar biasa dan bangga dengan semangat juang pasukan walaupun China meranapkan impian mereka untuk mencipta sejarah menjulang Piala Thomas.
“Sangat menakjubkan. Kami mempamerkan pertarungan hebat di gelanggang. Ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu turut percaya kegagalan itu akan menyemarakkan lagi semangat Perancis untuk meraih kejayaan dalam kejohanan berpasukan badminton berprestij itu pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial