SUKAN > BERITA

Akui Wujud Jurang Dengan Pearly–Thinaah, Nuraqilah Enggan Tertekan

05/05/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pemain beregu wanita muda negara, Noraqilah Maisarah Ramdan kini menumpukan kepada peningkatan kualiti permainan secara konsisten tanpa terlalu memikirkan tekanan untuk menyaingi kredibiliti pasangan utama negara Pearly Tan–M. Thinaah.

Mengakui wujud jurang antara prestasinya dengan pasangan nombor satu negara itu, Noraqilah Maisarah berkata bagaimanapun, beliau tidak terbeban dengan harapan peminat yang mula membandingkan mereka dengan pasangan berkenaan selepas beraksi cemerlang dalam kejohanan Piala Uber 2026 di Denmark baru-baru ini.

"Kami masih jauh lagi kalau nak ikut tahap Pearly–Thinaah. Dari segi pengalaman dan corak permainan, memang mereka jauh lebih matang berbanding kami yang baru hendak meningkat naik," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Noraqilah Maisarah yang bergandingan dengan Low Zi Yu mula menjadi sebutan komuniti badminton selepas melakar kejutan besar menumbangkan gandingan nombor tujuh dunia dari Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi dengan keputusan 21-17, 12-21, 21-19 dalam aksi peringkat kumpulan di Forum Horsens pada kejohanan itu.

Ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan untuk menyamai tahap pasangan senior itu, Noraqilah Maisarah yang memaparkan corak permainan kreatif tidak meletakkan garis masa, namun berkeinginan untuk merapatkan jurang tersebut secepat mungkin.

Mengulas perancangan bagi baki musim ini, Noraqilah Maisarah meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia sebagai batu loncatan awal untuk membina profil pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan