SUKAN > BERITA

RTG Teroka Acara Baharu Berpotensi Sumbang Emas Pertama Sukan Olimpik

12/05/2026 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Program Road to Gold (RTG) akan meneroka sukan baharu yang berpotensi menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata pendekatan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat RTG pada 19 Mei ini, susulan keperluan melihat landskap sukan negara secara lebih luas dan tidak tertumpu kepada sukan tertentu sahaja.

“Kami harus melihat landskap sukan itu lebih luas lagi, kami tidak hanya terperangkap pada sukan yang sama.

“Kami ingin membuka lembaran yang lebih luas untuk sukan-sukan Malaysia ini kerana tujuan dan matlamat asal RTG adalah untuk memperoleh emas pertama,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) kerjasama strategik antara Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di sini hari ini.

Beliau berkata hasil mesyuarat RTG itu, termasuk pelan tindakan program berkenaan akan diumumkan kepada media selepas mesyuarat selesai.

Dr Mohammed Taufiq berkata antara perkara yang akan dibincangkan ialah aspek peruntukan dan kaedah menyesuaikan pelaksanaan program dengan bajet sedia ada.

Buat masa ini, hanya empat acara sukan berada di bawah program RTG, iaitu badminton, berbasikal trek, angkat berat dan skuasy.

Badminton mempunyai senarai atlet paling banyak dengan 13 pemain, diikuti berbasikal trek (dua), manakala angkat berat dan skuasy masing-masing mempunyai seorang wakil.

Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata badan induk itu bersikap realistik berhubung peluang sukan hoki yang disenaraikan dalam program RTG bertujuan memburu pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

“Sejujurnya saya rasa ini bukan panggilan kami, ia terpulang kepada kementerian dan kerajaan. Kami faham RTG adalah mengenai usaha mendapatkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.

“Buat masa ini agak sukar untuk hoki memenangi emas. Jadi, dengan sokongan seperti ini pun sudah cukup baik. Kami ambil satu langkah pada satu masa dan tidak memaksa untuk berada dalam RTG.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan