KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Perebutan gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 dijangka sengit apabila mengumpulkan calon dengan rekod pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa sepanjang tahun lepas.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, atlet wushu Si Shin Peng bakal dicabar Chen Tang Jie (badminton), Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).
Kategori Olahragawati Kebangsaan pula menyaksikan atlet wushu Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee bakal bersaing dengan Emma Firyana Saroji (boling padang), Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling) serta Toh Ee Wei (badminton).
Pada masa sama, dalam kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin mengetuai pencalonan bersama atlet berbasikal para Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan ikon olahraga para negara Abdul Latif Romly.
Kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menghimpunkan Jariah Zakaria (boling padang para), Lim Carmen (renang para) dan Parameswary Kashinathan (menembak para).
Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing bakal menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.
“Jawatankuasa Pemilihan ASN 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail menerima sebanyak 74 pencalonan merangkumi 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Pemilihan calon-calon akhir dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang 2025,” demikian menurut kenyataan MSN hari ini.
Selain kategori utama, ASN 2025 turut mempertandingkan tujuh lagi kategori iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.
ASN yang diperkenalkan sejak 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan dalam menghargai kecemerlangan atlet, jurulatih, pegawai serta persatuan sukan kebangsaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang tahun.
ASN 2025 dijadual berlangsung di MSN, Bukit Jalil di sini, esok (19 Mei).
Beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan ratu boling padang Nor Farah Ain Abdullah masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada ASN 2024 tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial