SUKAN > BERITA

Tang Jie-Ee Wei Mahu Cipta Legasi Seperti Chong Wei

19/05/2026 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 menyifatkan pengiktirafan tersebut hadir bersama tanggungjawab besar untuk terus menjadi contoh terbaik kepada generasi muda.

Tang Jie, atlet kelahiran Ipoh, Perak itu turut mengimbau detik beliau membesar dengan menjadikan legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai idola dan sumber motivasi untuk berjaya di pentas antarabangsa.

“Saya berharap dapat menjadi ikon untuk generasi muda. Jadi, saya perlu buat lebih baik dan kita pun dari kecil tengok Datuk Seri Lee Chong Wei meraih banyak pencapaian sehingga jadi wira serta antara ikon untuk rakyat Malaysia.

“Jadi saya dan Ee Wei juga mahu melakukan lebih baik, macam beliau,” katanya pada sidang media selepas ASN 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Terdahulu, penyampaian anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gandingan Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking keempat dunia, mencipta sensasi selepas melakar sejarah apabila menamatkan penantian 48 tahun Malaysia untuk meraih gelaran dunia beregu campuran selepas muncul juara Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis tahun lepas.

Sementara itu, Tang Jie turut menyifatkan kejayaan atlet negara dalam pelbagai sukan membuktikan semangat juang tinggi rakyat Malaysia meskipun negara memiliki populasi lebih kecil berbanding kuasa besar sukan dunia.

“Sebenarnya saya rasa bukan badminton sahaja, semua sukan di Malaysia luar biasa. Negara kita kecil jika dibandingkan dengan negara lain, tetapi semangat dalam sukan itu saya rasa lebih tinggi.

“Mungkin negara lain ada 1,000 atlet, kita hanya ada tiga atau empat orang, tetapi Malaysia masih boleh meraih pencapaian dalam pelbagai sukan,” katanya.

Pada majlis anugerah itu, jaguh para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan atlet para renang Lim Carmen, masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan