KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki utama negara Leong Jun Hao mengakui beliau beberapa kali tidak menghadiri sesi latihan selepas terpalit dengan isu disiplin baru-baru ini.
Tanpa mengulas lanjut, Jun Hao berkata tindakan tersebut dilakukan susulan masalah peribadi dihadapinya.
“Saya akui tidak menghadiri sesi latihan, namun saya tidak mahu komen sangat mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Jun Hao diberi amaran terakhir oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan masalah disiplin.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei dilaporkan berkata pemain berusia 26 tahun itu berdepan risiko digugurkan daripada skuad kebangsaan sekiranya gagal mengubah sikapnya.
Di sebalik isu tersebut, pemain nombor 25 dunia itu berkata tumpuannya ketika ini adalah berusaha meningkatkan prestasi dan memberikan aksi terbaik pada kejohanan Malaysia Masters kali ini.
Jun Hao dijangka berdepan pemain daripada pusingan kelayakan pada kejohanan bertaraf Super 500 itu yang dijadual membuka tirai esok hingga 24 Mei.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dibelenggu prestasi tidak menentu apabila tersingkir awal dalam lima kejohanan disertainya tahun ini.
Beliau juga tewas dalam kesemua tiga perlawanan sewaktu mengetuai cabaran perseorangan lelaki negara pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial