SUKAN > BERITA

Malaysia Atasi Vietnam, Bertemu India Di Final Kuadran

19/05/2026 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Skuad negara menepati sasaran mara ke pentas akhir acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Vietnam 2-1 dalam aksi separuh akhir mendebarkan di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Barisan negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi memulakan aksi cemerlang apabila memenangi set pertama 15-10.

Namun, Vietnam yang diwakili Nguyen Hoang Lan, Vuong Minh Chau, Nguyen Van Ly dan Huynh Ngoc Sang bangkit memberi tentangan sengit untuk menguasai set kedua 15-12, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam aksi penentuan dramatik itu, Malaysia cemas seketika apabila ketinggalan 9-12 sebelum berjaya mengikat kedudukan 14-14 dan seterusnya menoktahkan kemenangan 17-14.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Ahmad Jais Baharun menempah slot ke pentas final menentang India yang menewaskan Myanmar 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Malaysia terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan India 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan C bagi mengesahkan tempat ke suku akhir acara berkenaan.

Perlawanan akhir kedua-dua pasukan dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan