SUKAN > BERITA

Axelsen Rai Peminat Di Pulau Pinang, Penampilan Pertama Di Malaysia Selepas Bersara

26/05/2026 10:22 PM

GEORGE TOWN, 26 Mei (Bernama) -- Bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia dari Denmark Viktor Axelsen membuat kemunculan pertama di Malaysia selepas mengumumkan persaraan 15 April lepas dengan meraikan peminatnya di sini hari ini.

Pulau Pinang merupakan destinasi kedua bagi siri jelajah serantau bekas juara Olimpik dua kali itu yang dianjurkan sebuah syarikat multinasional, selepas di Jakarta, Indonesia pada 24 Mei lepas.

Acara bertema "Sambutan Legasi Viktor Axelsen" itu diadakan di dua lokasi berbeza, iaitu bermula dengan sesi santai di sebelah pagi di ibu pejabat Monitor ERP System di Tanjong Tokong di sini, sebelum diteruskan dengan aktiviti di Kompleks Sukan Bandaraya Relau pada sebelah petang.

​Suasana di kompleks sukan tersebut ceria apabila legenda badminton Denmark itu turun ke gelanggang untuk bermain bersama kanak-kanak, selain menyaksikan para pelanggan dan kakitangan menyertai cabaran pukulan tepat.

​Selain beramah mesra, para peminat yang hadir turut berpeluang menyertai sesi soal jawab secara langsung serta menyampaikan ucapan penghargaan dan selamat maju jaya kepada ikon badminton tersebut.

Sementara itu, Axelsen menzahirkan rasa syukur atas perjalanan kerjayanya yang telah membentuk disiplin dan daya tahan diri yang tinggi, sambil menghargai sokongan berterusan daripada rakan kongsi setianya.

​"Bertanding di pentas besar telah mengajar saya erti disiplin dan daya tahan yang jauh melangkaui dunia sukan, walaupun saya kini meninggalkan kejohanan profesional demi mengutamakan kesihatan jangka panjang, saya berasa amat bersyukur," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh syarikat itu hari ini.

Pada 15 April lepas, Axelsen mengumumkan persaraannya susulan kecederaan belakang yang sering dialaminya, sekali gus menutup tirai karier gemilangnya dalam sukan badminton.

Selain memenangi pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, pemain berusia 32 tahun itu turut meraih dua gelaran dunia pada 2017 dan 2022.

​-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan