SUKAN > BERITA

FAM Serah Kepada AFC Keputusan Dedah Laporan Audit - Setiausaha Agung

07/06/2026 08:47 PM

PETALING JAYA, 7 Jun (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan sepenuhnya kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung desakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh supaya laporan penuh audit badan induk itu didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata laporan audit berkenaan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya kerana memerlukan penelitian rapi selain berpotensi menimbulkan persepsi campur tangan pihak luar dalam urusan pentadbiran badan induk bola sepak negara.

Beliau berkata FAM perlu mematuhi prinsip autonomi persatuan seperti yang ditetapkan AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus mengelakkan sebarang bentuk campur tangan luar dalam pentadbiran persatuan.

"Kita tidak mahu timbul persepsi campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan kerana FAM mempunyai kedudukan yang berbeza berbanding badan atau persatuan lain.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan bersama AFC dan FIFA. Pada pandangan saya, isu ini sudah pun ditangani di peringkat AFC dan FIFA. Audit telah dilaksanakan dan kita juga sudah mengenal pasti kelemahan yang dibangkitkan menerusi proses itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata keputusan sama ada laporan audit itu perlu didedahkan kepada umum kini terletak di tangan kepimpinan baharu FAM.

"Itu hak mereka. Kita tunggu keputusan FAM atau AFC sama ada laporan itu akan didedahkan atau tidak.

"Saya tidak mempunyai kuasa dalam perkara ini. Ia akan dibincangkan oleh presiden dan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu FAM bersama AFC sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ramkarpal meminta laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum bagi membolehkan isu tadbir urus badan induk itu dibahaskan secara menyeluruh.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa perkara berkenaan ke sidang Parlimen yang dijadual bermula pada 22 Jun ini, sambil menegaskan perbahasan yang berkesan hanya dapat dilaksanakan sekiranya laporan audit itu didedahkan kepada umum.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan