PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) -- Kesemua 18 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara meluluskan pindaan Statut FAM yang dicadangkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Kongres Luar Biasa FAM di sini hari ini.
Kelulusan itu dicapai selepas perwakilan membahaskan beberapa peruntukan dalam draf statut berkenaan sebelum Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John dan Timbalannya Vahid Kardany memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.
Terdahulu, Windsor memaklumkan draf statut dicadangkan AFC tersebut mengandungi 94 artikel hasil audit yang dijalankan terhadap pentadbiran FAM, dengan matlamat memperkukuh tadbir urus dan memastikan perubahan positif dapat dilaksanakan dalam badan induk bola sepak negara berkenaan.
Antara cadangan utama ialah pemansuhan jawatan Timbalan Presiden, pengurangan jumlah kerusi Naib Presiden kepada tiga serta penstrukturan semula Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.
Draf statut setebal 77 muka surat itu turut mencadangkan penambahan ahli gabungan, termasuk membolehkan kelab Liga Super menjadi ahli gabungan FAM secara automatik dan layak mengundi pada kongres, tertakluk kepada syarat bahawa mereka merupakan entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.
Selain itu, wakil kelab daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita dan Liga Futsal Premier Malaysia, serta Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Pengadil turut dicadangkan sebagai ahli gabungan FAM.
Bagi komposisi baharu Exco FAM, tujuh kerusi diperuntukkan dengan tiga kerusi mewakili persatuan negeri termasuk Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Sukan India Malaysia dan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia.
Dua lagi kerusi diperuntukkan kepada wakil kelab, satu kerusi kepada wakil wanita dan satu kerusi pakar yang akan diwakili sama ada Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), PFAM atau Persatuan Pengadil.
Sementara itu, ahli gabungan FAM turut bersetuju secara sebulat suara untuk meluluskan Kod Elektoral dan Peraturan Organisasi badan induk itu.
Kongres Luar Biasa FAM hari ini dipengerusikan Windsor dan dihadiri Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman, 35 perwakilan yang mewakili kesemua 18 ahli gabungan, selain wakil FIFA dan AFC serta para pemerhati.
Pada Januari lepas, kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.
Keputusan itu dibuat sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi tanpa sebarang kepentingan peribadi atau jawatan, selain disifatkan sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang menarik perhatian umum berhubung isu pemain warisan, serta bagi memelihara integriti FAM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial