NILAI, 9 Jun (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek wanita kebangsaan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meneruskan dominasinya dalam acara pecut berpasukan wanita elit, apabila membantu Kedah meraih gelaran kebangsaan buat kali kelima berturut-turut pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
Trio Kedah yang turut dibarisi Nurul Nabilah Mohd Asri dan Nur Fitrah Shaari, mencatat masa terpantas 50.912 saat (s) untuk menjuarai acara itu, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi negeri itu pada edisi sebelum ini.
Pingat perak menjadi milik Selangor menerusi gandingan Yong Ann Tung, Yong Ann Yii dan Yeong Zhen Yi yang merekodkan masa 52.626s, manakala gangsa disambar Terengganu yang dibarisi Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alla Md Zahiruddin dan Nur Aerin Wadhiah Mohd Adni (53.181s).
Nurul Izzah berkata kejayaan itu cukup bermakna, memandangkan Kedah hanya dibarisi seorang pelumba skuad kebangsaan berbanding pencabar utama seperti Selangor dan Pulau Pinang, yang mempunyai beberapa atlet kebangsaan.
“Alhamdulillah, hari ini kami dapat pingat emas untuk Kedah. Kami berjaya mencatat masa 50 saat dan itu keputusan yang baik untuk kami. Memang kami tahu saingan kali ini sukar, jadi saya sangat bersyukur dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata kejohanan itu turut menjadi medan penting untuk mengutip mata kedudukan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), bagi merealisasikan impiannya beraksi di Kejohanan Dunia Shanghai, China tahun ini.
Beliau berkata setiap mata yang dikumpul penting, bagi memastikan kedudukannya lebih selesa dalam kedudukan dunia, menjelang proses kelayakan ke kejohanan berprestij tersebut.
“Sasaran saya tahun ini adalah untuk mengumpul mata yang mencukupi bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia. Jadi setiap mata yang diraih amat penting,” katanya.
Sementara itu, Selangor muncul juara acara pecut berpasukan lelaki elit selepas trio Muhammad Darwish Hakim Zain, Yung Liang dan Muhammad Fadhli Mohd Zonis, mencatat masa terpantas 46.847s.
Pingat perak menjadi milik Johor menerusi gandingan Mohamed Faris Hilman Mohamed Farook, Ahmad Daniel Harb Alhaj Ahmad Rifaie dan Ahmad Zharif B Ahmad Nazar (46.971s), manakala gangsa diraih Negeri Sembilan yang dibarisi Muhammad Luqman Haqim Al Badrun, Fiqh Harim K. Fazil dan Muhammad Zafrul Mohd Syukry (49.349s).
Muhammad Fadhli berkata kejayaan itu diraih hasil persembahan konsisten pasukannya, selain berjaya memanfaatkan ketiadaan beberapa pelumba elit Johor yang sebelum ini menjadi antara pencabar utama dalam acara berkenaan.
“Sudah tentu kami mengambil peluang yang ada. Johor tidak menurunkan beberapa pelumba elit mereka kali ini, tetapi pada masa sama kami tetap perlu memberikan kayuhan terbaik kerana saingan masih sengit.
“Apa yang penting ialah kami fokus kepada prestasi sendiri dan berjaya melaksanakan perancangan perlumbaan dengan baik untuk meraih emas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial