JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Haier Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam memacu arena sukan negara melalui penganjuran edisi keempat Piala Haier 2026, yang kini berkembang sebagai platform kebangsaan bagi melahirkan bakat baharu sukan badminton dari peringkat akar umbi.
Pengurus Pemasaran Jenama Haier Malaysia, Audree Fam berkata, penganjuran kejohanan tahunan ini berfungsi sebagai platform berterusan untuk pemain muda mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran masing-masing.
"Tujuan utama kami mengadakan kejohanan badminton ini adalah untuk memperkukuh pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui pada kejohanan Piala Haier 2026 Siri Johor di Sports Hub @ Austin Heights, di sini Sabtu lepas.
Beliau berkata platform berkenaan juga disediakan secara berterusan bagi membolehkan golongan bakat muda mengasah kemahiran mereka dengan lebih efektif.
Menurut Fam, Haier Malaysia meluaskan jangkauannya pada edisi kali ini dengan menambah Sabah sebagai destinasi hos baharu, di samping lokasi sedia ada iaitu Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
Kejohanan kali ini turut menawarkan cabaran yang lebih dinamik dengan jumlah keseluruhan hadiah terkumpul mencecah RM90,000, merangkumi wang tunai, produk Haier dan barangan Maxx.
Selain kategori terbuka, komitmen Haier dalam ekosistem sukan dibuktikan melalui penganjuran Haier Cup Junior bagi tahun kedua berturut-turut untuk peserta seawal usia tujuh tahun.
Langkah ini disusuli dengan program Haier Junior Development 2.0 yang disasarkan untuk melatih 10,000 pelajar di 20 buah sekolah seluruh negara melalui rangka kerja latihan tahunan berstruktur.
"Haier Malaysia percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia," kata Fam.
Beliau berkata melalui Piala Haier, syarikat itu berhasrat untuk menggalakkan masyarakat kekal aktif di samping memupuk nilai disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi.
Dalam pada itu, seorang peserta kejohanan Lai Wei Chung, 27, berkongsi bahawa kejohanan ini memberikan peluang berharga untuk mengumpul pengalaman dengan bersaing menentang pelbagai lapisan pemain.
Lai berkata ini bukan tahun pertama dia menyertai Piala Haier dan melihat platform berkenaan amat bagus untuk perkembangan jangka panjang para pemain.
Seorang lagi peserta Ng Jiajun, 32, pula berpendapat bahawa penganjuran kejohanan yang lebih meluas di setiap negeri mampu membantu mengesan pemain-pemain terbaik dari seluruh negara.
"Melalui pertandingan seperti ini, kita dapat mengumpulkan pemain terbaik untuk beraksi bersama-sama, sekali gus memberikan pengalaman berguna yang amat membantu perkembangan sukan badminton di peringkat ini," katanya.
Ng turut memuji pengurusan susunan pemain serta kelancaran jadual perlawanan yang disifatkannya berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Haier Malaysia Fan Jing berkata melangkah ke tahun keempat penganjurannya, Piala Haier terus menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para peserta mahupun rakan kerjasama.
"Apa yang bermula sebagai sebuah inisiatif kompetitif kini telah berkembang menjadi platform penglibatan kukuh, dengan peningkatan penyertaan dan minat semakin mendalam pada setiap tahun," katanya.
Beliau berkata inisiatif sedemikian terbukti bernilai tinggi dalam menyokong individu meminati badminton dengan menyediakan ruang untuk mereka bersaing, mempertingkatkan kemahiran serta kekal aktif dalam sukan berkenaan.
Bagi edisi 2026, Haier turut memberikan tumpuan kepada bakat sedang meningkat naik, Lim Ming Hong, menerusi Haier Elite Player Sponsorship Programme bagi menyokong perjalanan profesional beliau di pentas tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial