SUKAN > BERITA

Kidslympic Kini Dikenali Sebagai Kidsnergy - Liu Ying

24/06/2026 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Program pembangunan sukan kanak-kanak popular, Kidslympic, secara rasmi dijenamakan semula sebagai Kidsnergy dalam usaha memperkasakan generasi muda menerusi platform sukan yang lebih inklusif, holistik dan komprehensif.

Pengasas bersama Kidsnergy yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying berkata transformasi itu bukan sekadar pertukaran nama, malahan satu evolusi untuk menyatukan sinergi antara kanak-kanak, keluarga dan komuniti menerusi gaya hidup aktif.

Beliau berkata nama Kidsnergy yang menggabungkan perkataan “Kids” dan “Synergy” dipilih bagi mengubah persepsi penjenamaan sebelum ini yang kedengaran terlalu bersifat profesional kepada satu pergerakan yang lebih mesra keluarga.

“Perbincangan ini sudah kita (mulakan) tahun lepas …  tetapi, kita baru umum pada bulan ini kerana merasakan saat ini paling tepat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di sini, hari ini. 

Beliau berkata pembaharuan signifikan tahun ini ialah pengenalan kategori bagi kanak-kanak berkeperluan khas pada acara kemuncak akan datang bagi memastikan golongan berkenaan tidak diketepikan dalam arus pembangunan sukan.

Liu Ying berkata inisiatif itu bertujuan memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka keluar beraktiviti, sekali gus mencipta kegembiraan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan dalam persekitaran yang positif.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama, Kien Lim berkata Kidsnergy ialah pergerakan jangka panjang yang menyasarkan penglibatan ramai kanak-kanak. 

“Setiap kanak-kanak memiliki tenaga, bakat, impian dan potensi. Kidsnergy ditubuhkan untuk menyediakan peluang kepada setiap kanak-kanak untuk meneroka kekuatan, membangunkan karakter dan mencungkil potensi mereka,” katanya. 

Sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju jangka panjang, Kidsnergy akan memperkenalkan siri inisiatif di seluruh negara termasuk Jelajah Sekolah, Kelayakan Sukan, Siri Larian, Sukan Pantai, Sukan Malaysia dan Sukan Antarabangsa. 

Kidsnergy ialah sebuah gerakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif generasi muda yang bertekad untuk memperkasakan kanak-kanak menerusi penyertaan, pendidikan, pembangunan kepimpinan serta penglibatan komuniti. 

Kewujudan Kidsnergy berpaksikan keyakinan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk meneroka potensi diri dan mewujudkan platform inklusif bagi menginspirasikan gaya hidup yang lebih sihat, komuniti yang lebih teguh serta melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan