SUKAN > BERITA

Nasib Tang Jie Ke Kejohanan Dunia Bergantung Pemulihan Ee Wei - Nova

26/06/2026 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Harapan pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie untuk beraksi pada Kejohanan Dunia 2026 di India pada Ogos ini bergantung sepenuhnya kepada tahap pemulihan gandingannya Toh Ee Wei, kata jurulatih Nova Widianto.

Beliau berkata pihaknya berharap berlaku keajaiban buat Ee Wei namun sekiranya gandingan Tang Jie-Ee Wei tidak dapat beraksi, tempat mereka tidak boleh diisi pasangan lain kerana kelayakan adalah berdasarkan ranking.

“Kita harap ada keajaiban untuk Ee Wei. Tetapi jika Tang Jie dan Ee Wei tidak boleh bermain, tiada pengganti kerana kelayakan adalah berdasarkan ranking dan slot itu tidak boleh dipindahkan.

“Kalau Ee Wei tidak dapat kembali tepat pada masanya, Tang Jie dan Clarissa San tidak akan pergi ke Kejohanan Dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini. 

Ee Wei kini berdepan kekangan masa untuk pulih daripada koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya dengan barisan kejurulatihan masih menanti perkembangan sama ada pemain itu perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya. 

Nova berkata Terbuka Jepun akan menjadi pentas penilaian awal terhadap keserasian gandingan baharu Tang Jie-Clarissa, namun beliau mengingatkan peminat badminton negara supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pasangan itu pada penampilan sulung mereka.

“Persiapan sudah okay, tetapi saya harap jangan terlalu letak jangkaan tinggi dulu. Yang penting mereka beri yang terbaik. Dari apa yang saya lihat dalam latihan, saya rasa mereka ada potensi untuk buat yang baik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan