SUKAN > BERITA

Malaysia Mara Ke Suku Akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia 2026

27/06/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pemain badminton muda negara meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam saingan Kumpulan D di Jepun hari ini.

Skuad kebangsaan memenangi kedua-dua set menggunakan format pemarkahan berganti-ganti baharu dengan keputusan 55-32, 55-28 dalam aksi yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium. 

Dalam set pertama, beregu lelaki Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Kim Tae Hyun-Lee Min Jae 11-10, diikuti kemenangan perseorangan wanita, Carine Tee ke atas Kwom Min Gyo, 22-19, manakala beregu wanita Genevie Lim-Low Zi Yu mencatatkan kemenangan ketiga untuk Malaysia selepas menundukkan Kim Han Bi-Min Gyo, 33-24.

Ahmad kemudian bergandingan dengan Zi Yu dalam perlawanan keempat untuk melebarkan jurang buat Malaysia apabila mengalahkan Min Jae-Yeo Seo Young 44-31 dalam acara beregu campuran sebelum Kong Wei Xiang mengesahkan kemenangan set pertama dengan 55-32 ke atas Jeong Da Hwan dalam perseorangan lelaki.

Aksi cemerlang kem Malaysia diteruskan apabila beregu lelaki Damien Ling-Irfan Shazmir menewaskan Tae Hyun-Min Jae, 11-3, sebelum Carine sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menundukkan Min Gyo 22-9 dalam acara perseorangan wanita.

Genevie-Zi Yu melebarkan jurang untuk Malaysia selepas menewaskan Han Bi-Min Gyo, 33-14 dalam beregu wanita manakala Ahmad-Zi Yu menewaskan Min Jae-Seo Young, 44-22 dalam beregu campuran.

Perseorangan lelaki Wei Xiang kemudian memuktamadkan kemenangan buat Malaysia dengan keputusan 55-28 ke atas Da Hwan.

Malaysia memulakan kempen semalam dengan menewaskan Macau 55-16, 55-31.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke suku akhir.

Kejohanan itu menggunakan format pemarkahan secara relay atau berganti-ganti, dengan setiap perlawanan ditentukan menerusi format terbaik daripada tiga set yang masing-masing melibatkan 55 mata.

Setiap set merangkumi satu perlawanan bagi kelima-lima disiplin, dengan skor terkumpul dibawa dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya sehingga pemenang mencapai 55 mata.

Acara berpasukan BAJC 2026 yang bermula semalam akan berlangsung hingga 30 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan