SUKAN > BERITA

Perak Guna Khidmat Ketua Jurulatih Baharu Hadapi Saingan Liga A1 Semi-Pro Musim Depan

28/06/2026 06:10 PM

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu bagi mengemudi pasukan Perak dalam mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro bagi musim 2026-2027.

Menurut PAFA, keputusan itu dibuat susulan syarat baharu yang ditetapkan Amateur Football League (AFL) yang mewajibkan setiap pasukan mempunyai ketua jurulatih berkelayakan Lesen Kejurulatihan Pro Diploma AFC (Pro-A).

“PAFA akan melantik seorang ketua jurulatih yang bukan sahaja memenuhi syarat pelesenan, malah mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan bola sepak akar umbi, kejurulatihan moden serta rekod di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Pemilihan ketua jurulatih baharu turut mengambil kira agenda pembangunan bola sepak negeri yang selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 serta keperluan memperkukuh prestasi pasukan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Musim lepas, Perak dibimbing bekas pemain Syamsul Saad yang berjaya membawa pasukan menduduki tangga kelima liga selain mara ke separuh akhir MFL Challenge Cup serta suku akhir Piala Malaysia.

PAFA memaklumkan pelantikan ketua jurulatih baharu itu tidak akan mengetepikan barisan kejurulatihan sedia ada, sebaliknya mereka dikekalkan dan digandingkan bersama bagi memperkukuh struktur teknikal pasukan.

“PAFA juga bersetuju menawarkan kontrak baharu kepada para pemain musim lepas yang melepasi proses penilaian prestasi untuk terus bersama pasukan bagi menghadapi musim baharu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PAFA juga memaklumkan pasukan itu akan menyertai Liga A2 Amatur dan Piala Presiden musim ini, bertujuan memberi pendedahan kepada lebih ramai pemain muda berbakat yang lahir daripada pembangunan bola sepak peringkat akar umbi seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Liga A1 Semi-Pro serta Liga Perak Sejahtera 2030.

“Melalui pelaksanaan program pembangunan bola sepak merangkumi ketiga-tiga liga berkenaan, Perak berjaya melahirkan kira-kira 70 pemain berusia dalam lingkungan 18 hingga 24 tahun,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PAFA turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad kerana sentiasa menyokong segala perancangan bagi memastikan Perak terus kekal bersaing di pentas bola sepak negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan