KUALA LIPIS, 30 Jun (Bernama) -- Atlet kecergasan K. Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali Dr Kjey, mendedikasikan kejayaan mencipta rekod dunia ketiganya dalam acara kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam kepada mendiang bapanya.
Pada Ahad lepas, atlet berusia 29 tahun itu telah menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan Influencer Book of World Records dalam percubaan dilakukannya bermula 4 pagi hingga 11 malam di Healthland Kuala Lipis, Pahang.
Jey Prabakaran berkata kejayaan diraihnya itu memberi makna istimewa buat dirinya yang telah kehilangan bapanya, Kunasigaran Suppiya Thevar pada pada 3 Mac 1999.
"Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, kehilangan itu menjadi sumber inspirasi dan kekuatan yang mendorong saya untuk terus berjuang hingga berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dr Kjey sebelum ini telah mencipta rekod dalam MBOR dan Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi cabaran 12 jam dan 15 jam kardio serta angkat berat tanpa henti pada 2023 dan 2024, selain turut memecahkan rekod Asia dengan catatan masa 13 jam.
Anak kelahiran Kuala Lipis itu berkata persiapan mencipta rekod dunia baharu telah bermula sejurus selepas beliau menamatkan cabaran rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara pada Oktober tahun lepas.
Menurut Jey Prabakaran, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk perlu menurunkan berat badan, selain bergelut mengatasi keletihan dan mengantuk sepanjang usaha memecahkan rekod berkenaan.
"Bagi cabaran kali ini, saya menukar sepenuhnya corak pemakanan kepada diet vegetarian dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 32 kilogram sebelum membuat cubaan rekod,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kecergasan Malaysia India berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta menceburi bidang kecergasan.
Beliau turut merancang untuk melakukan percubaan rekod kebangsaan 5,000 kali jumping jacks dalam tempoh lima jam sempena Hari Sukan Negara yang dijadual berlangsung Oktober depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial