SUARA BELIA

PENDEKATAN ERGONOMIK MAMPU PULIHARA KESIHATAN KETIKA BEKERJA DARI RUMAH

18/05/2020 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Irwan Syah Md Yusof

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 kini memasuki fasa baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020. Ini bermakna, ada rakyat Malaysia yang telah bekerja dari rumah lebih daripada sebulan dan mungkin lebih daripada itu pada saat PKPB dilaksanakan bagi memutuskan rantaian virus pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Tanpa disedari tingkah laku dari aspek postur kerja dan penggunaan komputer riba, komputer meja atau telefon bimbit menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan yang terhasil secara kumulatif. Ketika fasa ini, komputer dan telefon bimbit menjadi pilihan utama untuk melakukan tugasan dari rumah.

Kebarangkalian mengalami masalah kesihatan secara kumulatif bagi mereka yang bekerja dari rumah adalah sangat tinggi dan mengakibatkan gejala Musculoskeletal Disorders (MSDs).

Penyakit utama yang sering dialami akibat bekerja dari rumah yang tidak kondusif adalah seperti sakit otot pada anggota belakang badan, leher, bahagian pinggang dan anggota tangan serta posisi duduk secara statik dalam tempoh waktu yang panjang. Kesan daripada kecederaan berkenaan memerlukan jangka masa yang lama untuk pulih dan melibatkan kos perubatan yang tinggi.

Tanpa disedari, kesalahan yang sering dilakukan ketika menggunakan komputer adalah postur badan menghala ke hadapan dengan kedudukan skrin komputer yang lebih rendah, postur tubuh membongkok ke hadapan ketika menaip pada papan kekunci komputer yang jauh di antara meja kerja, tekanan pada pergelangan tangan pada bahagian tepi meja kerja dan posisi kaki tidak sepenuhnya menyentuh lantai atau tidak seimbang.

Aktiviti Berisiko

Meskipun begitu, terdapat aktiviti lebih berisiko yang sering dilakukan dan diambil mudah oleh penguna seperti penggunaan telefon bimbit untuk melaksanakan tugasan seperti membalas atau menjawab pesanan e-mel atau sebaliknya yang memperuntukkan masa yang panjang.

Setiap inci pergerakan pada anggota leher sama ada membengkok ke hadapan atau ke belakang akan menghasilkan tekanan antara 4.5kg hingga 5kg. Pada kedudukan ini jika dilakukan berterusan secara ekstrem akan mengakibatkan kecederaan yang teruk dalam jangka waktu panjang.

Sehubungan itu, melalui pendekatan dalam bidang ergonomik dapat membantu mengurangkan dan meminimumkan potensi serta kecederaan pada anggota badan akibat daripada teknik bekerja dari rumah yang tidak betul.

Beberapa langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan untuk mengatasi dan meminimumkan masalah kesihatan ketika berkerja dari rumah pada saat menghadapi situasi pandemik COVID-19.

Langkah Pencegahan

Langkah pertama dengan melaraskan ketinggian skrin komputer selari dengan aras anak mata pada kedudukan leher lurus ke hadapan. Jarak di antara skrin komputer dengan pandangan mata antara 45cm-70cm dan dapatkan rehat dalam lima minit untuk setiap 25 hingga 30 minit bagi setiap kerja yang dilaksanakan..

Langkah kedua ialah teknik penggunaan papan kekunci komputer. Ubah atau laraskan ketinggian papan kekunci komputer pada kedudukan anggota siku 90 darjah dan posisi bahu secara mendatar.

Postur pergelangan tangan serta jari berada pada posisi lurus ke hadapan tanpa sebarang tekanan atau membengkok. Gunakan tetikus mudah alih ketika menggunakan komputer riba dan pastikan ketinggian kedudukan komputer riba berada selari dengan aras mata dengan menggunakan kotak atau bekas yang mudah diperoleh dalam rumah.

Kedudukan postur kerja yang baik merupakan langkah ketiga dengan kedudukan bahu dalam rehat, posisi belakang badan disokong sepenuhnya oleh penyokong tempat duduk pada kedudukan 90-110 darjah ke belakang. Manakala anggota paha kaki pada kedudukan mendatar, bahagian siku disokong dengan tempat letak tangan kerusi dan kaki sepenuhnya menyentuh permukaan lantai atau disokong dengan alatan bantuan.

Langkah keempat adalah memegang telefon bimbit selari dengan ketinggian aras anak mata pada posisi ke hadapan. Elakkan membengkokkan leher ke bawah secara melampau dalam waktu yang lama sekiranya perlu menggunakan telefon bimbit untuk melakukan tugasan yang tidak dapat dielakkan dalam jangka waktu panjang.

Meskipun begitu, pendekatan melalui senaman sekiranya dijadikan sebagai rutin harian mampu membantu mempertingkatkan kualiti tahap kesihatan serta meminimumkan gejala musculoskeletal disorders. Oleh demikian, dengan melakukan senaman yang mudah dari rumah dapat memperbaiki struktur otot dan pengaliran darah akibat daripada postur kerja, penggunaan peralatan dan persekitaran yang tidak baik.

Secara tuntasnya, adalah penting mengaplikasikan pendidikan ergonomik ketika ini pada saat menghadapi pandemik COVID-19 yang secara tidak langsung mampu menjadi satu bencana yang tidak direncana sekiranya tidak diberikan perhatian pada peringkat awal.

Bencana yang dimaksudkan adalah produktiviti dan prestasi kerja akan menurun akibat ramai pekerja mengambil cuti sakit serta majikan terpaksa menanggung kos rawatan pemulihan. Tidak terkecuali perubahan emosi serta tingkah laku boleh berlaku setelah tamatnya melalui fasa ‘norma baharu’ dan kembali kepada persekitaran asal.

--BERNAMA

Dr. Irwan Syah Md Yusof merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)