PENA WANITA

KESEJAHTERAAN PSIKOSOSIAL, MENTAL DAN FIZIKAL PETUGAS BARISAN HADAPAN

23/05/2020 08:29 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datin Dr. Sapora Sipon

Peranan petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan seperti petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pelbagai agensi dan sukarelawan lain ketika berlakunya penularan wabak COVID-19 amat signifikan dalam memelihara kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal rakyat.

Pengorbanan mereka amat besar dan tidak ternilai harganya. Ketika penularan wabak COVID-19 mengganas, mereka bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Mereka adalah wira negara tidak didendang yang sentiasa bekerja keras sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19. Lantaran itu, amat wajar sekali, keselamatan dan kebajikan mereka serta ahli keluarga diberi keutamaan.

Langkah proaktif

Langkah-langkah proaktif perlulah dilakukan bagi mengurangkan beban para petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan. Sokongan dan kerjasama orang awam dan rakyat dalam memahami tugas mereka juga diperlukan ketika negara berhadapan krisis COVID-19 ini.

Sekiranya COVID-19 tidak ditangani secara cepat dan tepat, ia mengakibatkan peningkatan kematian yang berganda, kerosakan persekitaran, kemelesetan ekonomi dan kesan psikologikal yang mendalam.

Kesan sesuatu bencana ke atas mangsa melibatkan kesan psikososial, mental dan fizikal. Ini termasuklah pengasingan, kemurungan, perubahan psikologikal, takut, lemah semangat, gangguan emosi atau kebimbangan. Namun, kesan ini bukan sahaja dialami oleh mangsa bencana, tetapi oleh petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan memandangkan mereka terlibat sama dalam mengurus bencana.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang berhadapan dengan bencana akan mengalami gangguan emosi. Mereka berada dalam kebimbangan, sentiasa risau, menghadapi masalah kekurangan tidur dan simptom kemurungan yang lain. Sesetengah dari mereka boleh pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun, yang lain memerlukan bantuan sokongan untuk pulih seperti sedia kala.

Petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan juga mengalami stres dan kebimbangan apabila bekerja tanpa henti, menghadapi risiko dijangkiti, kekurangan alat perlindungan, merasa kesunyian, keletihan fizikal dan pengasingan dari keluarga.

Lantaran itu, ada kajian menunjukkan keperluan intervensi psikologikal semasa pandemik COVID-19 berikutan jumlah pesakit yang ramai, kekurangan kemudahan perubatan, kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan petugas dan juga kesukaran mendapat kerjasama dari pesakit terutama sekali bagi pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental.

Jaga kebajikan

Dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal petugas hadapan terjaga, perlu dipastikan faktor lingkungan seperti keluarga mereka selamat dan dijaga dengan baik. Mereka memerlukan penjagaan anak yang baik sekiranya sudah berkeluarga dan mempunyai anak ketika bertugas.

Persekitaran pekerjaan dan kesejahteraan psikologi mereka perlu selesa untuk mereka memberi perkhidmatan terbaik. Kebimbangan dan penyesuaian diri kepada situasi bencana (COVID-19) boleh menyebabkan mereka kurang bermotivasi dan berfungsi dengan berkesan.

Bencana selalunya melibatkan proses pencegahan, penilaian dan strategi intervensi yang berkesan. Menyediakan perkhidmatan kesihatan bencana memerlukan kepakaran dan pendekatan yang unik. Ketika bencana, pihak media berperanan menyampaikan maklumat yang dapat mempercepatkan pemulihan bencana.

Peranan pihak media dalam membina kepercayaan dan kredibiliti dari orang ramai juga amat penting ketika bencana.

Orang ramai perlu sensitif dengan menyebar dan menggunakan maklumat yang sahih dan mempunyai kredibiliti. Mereka juga perlu bersedia menerima maklumat baru yang informatif, bersifat tenang dan menangani isu dan bukannya berdebat, Tugas orang ramai juga menghindari dari memberi respons atau komen negatif.

Urus stres

Pengurusan stres bagi petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan ialah dengan mereka sentiasa menjaga kesejahteraan diri mereka selain mengekalkan perhubungan dengan ahli keluarga dan rakan sekerja.

Adalah juga amat penting untuk mengekalkan sistem imuniti badan dengan mengambil makanan yang seimbang dan melakukan senaman. Mereka juga perlu bersifat kreatif seperti mempunyai hobi yang dapat menghilangkan stres yang dialami. Bersifat positif dan tahu limitasi diri juga amat membantu dalam menjaga kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal diri.

Sebagai menghargai kerja keras dan tanpa henti petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan menangani penularan COVID-19, sama-samalah kita menjalankan peranan masing-masing.

Sama-samalah kita memohon agar wabak COVID-19 cepat berakhir dan kehidupan berjalan seperti biasa.

--BERNAMA


Prof Datin Dr Sapora Sipon merupakan Profesor di Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)