NOTA KAMPUS

SELAMATKAH MAKANAN KITA DARIPADA SARS-COV-2?

27/05/2020 12:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Siti Aimi Sarah Zainal Abidin

Apabila ada pekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Pedas dikatakan menghidap COVID-19, ramai yang menjadi bimbang. Susulan daripada itu, sebuah pasar raya menghentikan stok ayam dari kilang tersebut. Namun, persoalan yang berbangkita dalam kalangan pengguna, adakah makanan kita sebenarnya selamat daripada jangkitan virus?

Keracunan makanan disebabkan oleh virus bukanlah sesuatu yang asing. Contohnya, Norovirus (NoV) boleh menjangkiti manusia melalui kerang-kerangan yang tercemar. Selain itu, virus Hepatitis A (HAV) yang ditemui dalam kerang-kerangan mentah, produk makanan mentah atau kurang masak, perairan dan air minuman yang tercemar juga boleh mengakibatkan keracunan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, virus seperti Human Rotavirus (HRV), Hepatitis E (HEV), Astrovirus, Aichi, Sapovirus, Enterovirus, Parvovirus dan Adenovirus juga boleh disebarkan melalui makanan.

Kajian menunjukkan bahawa SARS-CoV-2 yang mengakibatkan wabak pandemik COVID-19 boleh menjangkiti manusia melalui titisan ketika batuk atau selesema atau kontak rapat dengan penghidapnya. Persoalannya, adakah virus ini juga boleh menjangkiti manusia melalui makanan yang tercemar?

Kemungkinan jangkitan

Walaupun terdapat maklumat disebarkan tentang jangka hayat coronavirus di atas permukaan pelbagai jenis material, masih belum ada bukti kes yang menunjukkan bahawa makanan atau pembungkus makanan boleh menjadi medium penyebaran. Ini kerana virus ini menggunakan manusia sebagai perumah.

Justeru, kebarangkalian jangkitan melalui makanan hanya boleh berlaku sekiranya pengendali makanan yang bertugas adalah positif jangkitan sama ada dengan gejala (simptomatik) atau positif jangkitan tanpa menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik).

Bagaimanapun, pengendali makanan perlu memastikan bahawa mereka berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang gejala. Sekiranya terdapat sebarang tanda, mereka boleh dikecualikan daripada bekerja sehingga benar-benar pulih.

Tangani dengan baik

Kerajaan menangani kes di Pedas itu dengan baik. Langkah pencegahan telah diambil dengan menghentikan operasi kilang tersebut dan meletakkan pekerja di bawah kuarantin.

Namun begitu, bagi kilang pemprosesan makanan yang lain, pematuhan amalan pengendalian makanan yang ketat juga perlu diambil. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggariskan beberapa langkah keselamatan pekerja seperti pemakaian topeng hidung dan mulut, penjarakan sosial, pengurangan bilangan pekerja pada satu masa dan pemeriksaan suhu badan pada setiap hari.

Dalam situasi yang genting seperti sekarang ini, beberapa saranan daripada pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) juga perlu diambil kira. Antaranya, pengilang dan penyedia makanan perlu menggunakan produk nyah kuman dan pencuci yang berdaftar dalam amalan pembersihan dan sanitasi premis mereka. Kekerapan jadual pembersihan juga perlu ditambah bagi memastikan persekitaran premis penyediaan makanan seperti kilang, pasaraya, atau restoran sentiasa bebas daripada kuman.

Bagi mencapai langkah pembersihan yang berkesan, pengguna perlu mengambil kira jenis agen pembasmi kuman yang digunakan. Sebatian amonium kuartener, natrium hipoklorit dan asid peroksiasetik dalam nisbah kepekatan tertentu adalah antara bahan disinfektan yang telah diperakui dan diuji berkesan ke atas coronavirus.

Antara kawasan yang harus diberi perhatian adalah permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu dan kawasan penyediaan makanan. Pengguna digalakkan untuk membaca label sebelum membeli cecair disinfektan dan disarankan mematuhi langkah penyediaan yang betul supaya tiada kesan sampingan seperti kerengsaan dan keradangan kulit.

Elak paronia

Namun, dalam keadaan wabak yang kian meruncing ini, segelintir pengguna mula tampil dengan pelbagai teori demi memastikan makanan yang disediakan dan dimakan bebas daripada virus berbahaya ini.

Tidak cukup dengan amalan mencuci tangan dengan produk sanitasi tangan, ada pula yang mencadangkan supaya bahan pencuci dan disinfektan digunakan untuk merendam bahan mentah yang baru dibeli. Tindakan membuta-tuli ini bukan sahaja merosakkan bahan makanan, malah mungkin boleh menyebabkan keracunan daripada bahan kimia yang terkandung di dalam produk tersebut.

Paranoia yang berlebihan dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan kemudaratan. Apa jua langkah yang diambil, pengguna disarankan untuk mengikut nasihat KKM dan pihak berwajib.

--BERNAMA

Ditulis bersama oleh:

Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin adalah Pensyarah Program Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Dr Ismaniza Ismail adalah Pakar Higiene Industri dan Persekitaran, Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, UiTM

ChM Dr Shahrul Nizam Ahmad adalah Pensyarah Program Kimia Tulen, Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, UiTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)