TINTA MINDA

AIDILFITRI: PULANG KEPADA FITRAH

27/05/2020 09:24 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Sahad

Hari Raya Puasa atau Aidilfitri merupakan antara perayaan utama bagi umat Islam di Malaysia. Pada kebiasaannya, masyarakat di bandar-bandar besar mula bergerak pulang ke kampung halaman untuk meraikannya bersama ibu bapa dan sanak saudara.

Cuma, tahun ini, sambutannya sedikit berbeza. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana penularan wabak COVID-19 yang melanda bukan sahaja negara kita tetapi seluruh dunia.

Akibat wabak ini, kerajaan terpaksa mengambil keputusan dan ketetapan untuk tidak membenarkan warga Malaysia melakukan perjalanan jauh yang melibatkan rentas negeri sepanjang Aidilfitri.

Jaminan keselamatan

Semua yang dilakukan oleh pihak kerajaan, bukanlah untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ia diperketatkan bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan mereka.

Keadaan atau kebiasaan baru ini perlu difahami dan dipraktiskan oleh sesiapa jua demi memastikan kemenangan kita dalam melawan COVID-19.

Kegagalan bukanlah pilihan, kerana ramai yang akan terkesan kehidupan ekonominya jika wabak ini menular dengan meluas kembali.

Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang wajar bagi rakyat Malaysia untuk memahami situasi ini dengan melakukan sedikit pengorbanan dengan tidak merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya.

Sungguh pun demikian, terdapat segelintir rakyat yang masih berdegil dan melakukan perjalanan pulang ke kampung dengan merentas negeri dan berdepan denda sebanyak RM1,000 seorang.

Sebagai alternatif, dengan kemudahan teknologi yang ada, mereka sepatutnya boleh meraikan sambutan Aidilfitri secara pertemuan di alam maya melalui pelbagai perisian yang ada.

Falsafah Aidilfitri

Dalam hal ini, eloklah kita menyoroti konsep dan falsafah Hari Raya menurut perspektif agama. Islam menyifatkan Hari Raya sebagai hari kemenangan dan kemerdekaan. Menang melawan hawa nafsu. Merdeka pula dari belenggunya.

Perkataan Aidilfitri itu membawa makna kembali atau pulang kepada asalnya iaitu fitrah manusia yang lahir dalam keadaan suci dan bersih dari noda dan dosa.

Hakikatnya, inilah pulang yang sebenar. Pulang berhari raya ke kampung itu adalah tradisi. Tetapi pulang kepada fitrah adalah manifestasi sebenar dari sambutan hari raya.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menyedari falsafah hari raya yang tujuannya untuk membesarkan Allah melalui takbir raya, memuji dan mensucikanNya. Allah jua yang membantu kita semua menyucikan dosa melalui madrasah Ramadan.

Berdoalah semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk dapat mendidik nafsu kita untuk taat dan patuh kepasa segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga darjat ketakwaan sentiasa kita raih sepanjang masa dalam kehidupan kita.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)