TINTA MINDA

PENGGUNA PERLU KENALI BAKUL MAKANAN SIHAT

28/05/2020 11:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Shamsul Azahari Zainal Badari

Oleh Dr. Shamsul Azahari Zainal Badari

Makanan yang kita makan perlulah menyediakan cukup keperluan nutrien atau zat makanan bagi pertumbuhan dan perkembangan sel-sel dalam badan, membaiki sel-sel badan yang rosak serta melindungi daripada masalah ketidakcukupan pemakanan terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

Makanan juga berfungsi dalam perkembangan otot dan tisu badan, sebagai sumber tenaga bagi aktiviti fizikal, serta sumber utama vitamin dan mineral penting bagi kesihatan mental serta sistem imuniti dalam badan. Walaupun begitu, bagi pengguna terutamanya golongan B40, makanan yang diambil dan dimakan perlulah mampu beli dan tidak mahal.

Kebanyakan kita berasa makanan sihat adalah mahal dan hanya mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi sahaja mampu membelinya.

Proses pembelian makanan merupakan satu proses yang kompleks di mana ia melibatkan pengguna menterjemahkan makanan yang dibeli sama ada untuk diet sendiri atau diet untuk ahli keluarga.

Diet sihat memerlukan jumlah nutrien atau zat makanan yang mencukupi dan boleh didapati daripada makanan seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan serta daging, ikan atau ayam. Bagi pengguna B40, diet sihat bukan menjadi keutamaan tetapi kecukupan makanan untuk ahli keluarga adalah lebih bernilai.

Konsep makanan sihat itu sendiri bukan merupakan konsep penting bagi golongan pengguna B40 kerana telah dimomokkan bahawa makanan sihat adalah makanan yang mahal dan tidak mampu beli.

Konsep bakul makanan

Konsep bakul makanan merupakan konsep baru dalam kalangan pengguna terutamanya sejak wabak COVID-19 bermula. Walaupun begitu, konsep ini telah lama ada di negara-negara maju dan ia digunakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan makanan yang mencukupi untuk ahli keluarga mereka serta zat makanan yang cukup.

Bakul makanan sihat bermaksud kumpulan pelbagai jenis makanan daripada kesemua kumpulan makanan penting (bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan, daging/ayam/telur/kekacang, ikan, dan produk tenusu), yang murah dan mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah serta dapat menyediakan keperluan nutrien atau zat makanan yang mencukupi untuk kesemua isirumah.

Bakul makanan sihat amat penting dalam memastikan pengguna terutamanya pengguna B40 mampu membeli serta mendapatkan makanan yang mampu beli dan berkhasiat. Program bakul makanan sihat merupakan program yang berterusan sehinggalah penerima bantuan mampu membeli dan menyediakan makanan sihat kepada ahli keluarga mereka.

Di negara maju, bakul makanan ini digunakan sebagai satu program bantuan makanan kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin. Di Amerika Syarikat, program Thrifty Food Plan dijadikan sebagai panduan asas program bantuan makanan. Di Kanada pula, program bantuan makanan adalah berasaskan kepada Nutritious Food Basket. Di United Kingdom, program ini dinamakan Healthy Eating Shopping Basket. Di Australia pula, kebanyakan negeri-negeri mempunyai program bakul makanan mereka sendiri dan digunakan bagi kumpulan berpendapatan rendah, orang tua serta individu yang miskin. Bagaimana pula di Malaysia?

Di Malaysia, program awal bakul makanan sebelum wabak COVID-19 mula diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penerima bakul makanan ini adalah kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan. Carta tumbesaran kanak-kanak yang menerima bakul makanan ini perlu menunjukkan pertumbuhan terbantut dan garis pertumbuhan berada di bawah paras normal.

Selain itu, kanak-kanak ini perlulah datang daripada keluarga miskin, atau memerlukan makanan tambahan khas. Bakul makanan yang disediakan oleh KKM adalah bernilai RM150 sebulan dan mempunyai 13 kategori.

Bagi membolehkan kanak-kanak ini layak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu melaporkan keperluan kanak-kanak ini kepada pihak kementerian kesihatan.

Bakul makanan dan wabak COVID-19

Sejak bermulanya wabak COVID-19, keperluan kepada bakul makanan semakin meningkat di dalam kalangan pengguna B40, terutamanya golongan pengguna yang terjejas sumber pendapatan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bakul makanan ini disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan terdiri daripada beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu pekat, garam, bihun, ikan kering atau bilis, kicap, sos cili, sardin, teh atau kopi, biskut, rempah ratus dan cili kering. Terdapat juga organisasi bukan kerajaan dan individu persendirian yang turut menyumbang kepada bakul makanan ini.

Persoalannya, adakah kesemua pengguna B40 layak untuk menerima bantuan ini dan adakah bantuan ini berterusan. Selain itu, bakul makanan yang sedia ada tidak mencakupi definisi bakul makanan itu sendiri.

Oleh itu, kajian menyeluruh tentang keperluan bakul makanan amat penting bagi memastikan kecukupan makanan untuk kumpulan pengguna B40 yang terjejas.

Perluaskan bakul makanan

Sehingga kini, selain daripada bakul makanan yang disediakan oleh pihak JKM, tiada lagi bakul makanan lain yang boleh digunakan untuk membantu pengguna B40 yang terjejas ini.

Bakul makanan sihat telah dibentuk oleh penulis dan penyelidik dari University of New South Wales, Australia serta diterbitkan dalam Malaysian Consumer and Family Economics Journal pada 2014. Dalam penerbitan ini, sebanyak 35 jenis makanan telah dikenal pasti dan dimasukkan dalam bakul makanan tersebut.

Bakul makanan yang dibentuk adalah untuk isirumah yang mempunyai lima ahli keluarga, berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar Semenanjung Malaysia.

Harga bakul makanan untuk seminggu bagi sesebuah keluarga di dalam kajian ini adalah kira-kira RM320. Perbelanjaan ini mencakupi menu sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam selama seminggu. Jika penyediaan makanan hanya melibatkan dua atau tiga hidangan sahaja bagi sehari, jumlah perbelanjaan makanan bagi bakul ini akan berkurangan. Walaupun begitu, dengan peningkatan harga makanan di pasaran kini, harga bagi bakul makanan sihat dijangka meningkat.

Namun, penjimatan masih boleh dilakukan jika pengguna pandai menguruskan menu makanan isirumah mereka dan membentuk bakul makanan mereka sendiri.

--BERNAMA

Dr. Shamsul Azahari Zainal Badari ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)