TINTA MINDA

Vape: Ancaman Senyap Remaja, Negara Perlu Ambil Tindakan Tegas

07/07/2025 09:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Anim Zalina Azizan

Dalam era moden yang sarat dengan inovasi dan perubahan gaya hidup, vape atau rokok elektronik semakin menjadi pilihan dalam kalangan remaja, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan dan kesejahteraan generasi masa depan.

Terbaharu, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan larangan penjualan produk vape di semua premis negeri itu bermula 1 Ogos 2025 depan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Exco Negeri itu adalah langkah proaktif bagi membendung penggunaan vape yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat, khususnya golongan muda.

Sementara itu, kerajaan negeri Kedah memilih pendekatan berbeza dengan merancang pelaksanaan kawalan penjualan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan tentang pengharaman menyeluruh. Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata kerajaan negeri tidak akan terburu-buru kerana lesen penjualan vape dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Langkah-langkah ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap ancaman vape, namun ia juga menimbulkan persoalan: apakah vape benar-benar "selamat," dan adakah kita bersedia mengambil tindakan menyeluruh di peringkat nasional?

Vape: Ilusi Keselamatan Yang Menipu

Di sebalik imej moden dan bau wangi pelbagai perisa, vape sebenarnya menyembunyikan risiko kesihatan yang serius. Ramai beranggapan vape lebih selamat daripada rokok tradisional, namun kajian menunjukkan sebaliknya. Cecair vape bukan sahaja mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan, tetapi juga bahan kimia berbahaya seperti formaldehid dan logam berat yang boleh merosakkan paru-paru.

Bagi remaja, risiko ini lebih besar. Pendedahan kepada nikotin ketika otak masih berkembang boleh mengganggu fungsi kognitif, menjejaskan tumpuan dan mempengaruhi kawalan emosi. Malah, beberapa laporan menunjukkan remaja yang mula dengan vape cenderung untuk mencuba bahan terlarang lain, termasuk dadah sintetik dan ganja.

Budaya Vape: Trend Berbahaya Yang Dinormalisasi

Apa yang lebih membimbangkan, vape kini telah menjadi simbol status dan budaya dalam kalangan remaja. Dengan bentuk menarik, saiz kecil dan pelbagai rasa menggoda, vape mudah disembunyikan dan digunakan di sekolah atau tempat awam. Fenomena ini dipergiatkan lagi dengan kandungan media sosial yang memaparkan aksi menghembus asap vape sebagai sesuatu yang "cool". Akibatnya, ramai remaja tidak lagi melihat vape sebagai satu tabiat buruk, sebaliknya sebagai trend sosial yang diterima ramai. Fenomena ini jika tidak ditangani, boleh membawa kepada krisis kesihatan awam jangka panjang.

Langkah Pengharaman Wajar, Tepat Dan Berani

Tindakan Terengganu mengharamkan penjualan vape patut dipuji sebagai langkah berani dan berwawasan. Ia menghantar mesej tegas bahawa kesihatan rakyat, khususnya remaja, adalah keutamaan. Langkah ini perlu diperluas ke seluruh negara, namun bukan sekadar dengan larangan, tetapi disusuli dengan strategi pelaksanaan yang menyeluruh. Penguatkuasaan undang-undang, pemantauan penjualan dalam talian, pendidikan kesihatan di sekolah serta kempen kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat umum adalah langkah penting yang mesti dilaksanakan secara serentak.

Sokongan Kepada Peniaga Dan Remaja

Langkah pengharaman sering dikritik sebagai menjejaskan peniaga kecil dan mengehadkan kebebasan individu. Namun, pendekatan lebih membina boleh diambil dengan menyediakan alternatif yang sihat. Kerajaan boleh menawarkan insentif, latihan atau bantuan modal untuk membolehkan peniaga vape beralih kepada perniagaan lain yang lebih bermanfaat seperti produk kesihatan, makanan organik atau inovasi teknologi tempatan.

Remaja pula perlu diberi peluang untuk menyertai aktiviti sihat seperti sukan, seni dan program kepimpinan yang dapat memperkasa mereka tanpa bergantung kepada tabiat berisiko. Sekolah dan institusi pendidikan perlu menjadi medan utama pencegahan, bukan semata-mata melalui hukuman, tetapi melalui sokongan dan bimbingan.

Masa Depan Remaja, Tanggungjawab Kita Bersama

Isu vape bukan sekadar isu kesihatan, ia adalah cerminan bagaimana kita menjaga masa depan negara. Remaja hari ini bakal memimpin negara esok, dan mereka layak mendapat peluang hidup yang bebas daripada ketagihan dan ancaman penyakit. Larangan vape di Terengganu adalah langkah permulaan. Kini, seluruh negara perlu berganding bahu iaitu kerajaan, NGO, ibu bapa, pendidik dan masyarakat untuk melindungi remaja kita daripada ancaman senyap yang sedang menular. Sudah tiba masanya tindakan tegas dan menyeluruh diambil. Demi remaja, demi keluarga, dan demi negara tercinta.

-- BERNAMA

Dr. Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)