Sudah tiga hari berturut-turut saya menyertai serta memberi pendapat pada pembentangan Cadangan Tesis PhD (Doktor Falsafah) secara dalam talian di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Kesemua enam calon bagi ijazah berkenaan berasal dari Indonesia dan Uganda.
Secara asasnya, proses memperoleh ijazah PhD bertujuan menjadikan seseorang itu berfikir dan bertindak secara saintifik bukan secara tahyul.
Oleh itu, semasa pembentangan Cadangan Tesis, calon dinilai dalam pelbagai aspek termasuk sama ada beliau sudah memahami cara mencari kebenaran melalui proses saintifik. Apakah kerja kursusnya nanti akan mengesahkan kerja orang terdahulu; menolak apa yang dikatakan benar oleh orang terdahulu; atau beliau akan meneroka kebenaran baharu yang belum diteroka oleh orang terdahulu.
Rata-rata saya mendapati calon pantas memilih tajuk penyelidikan tanpa terlebih dahulu menguasai ilmu dalam disiplin yang digunakan untuk memberi rawatan kepada kerja penyelidikan PhD tersebut.
Tradisi universiti di Amerika Syarikat (AS) mewajibkan kerja kursus dilakukan sebelum memulakan disertasi yang berbeza dengan tradisi university di United Kingdom (UK) yang terus membuat tesis.Tradisi di kebanyakan universiti di AS yang mewajibkan calon membuat kerja kursus umumnya sebanyak 90 kredit selepas ijazah Sarjana Muda adalah sangat membantu pelajar untuk menguasai disiplin ilmu sebelum membuat disertasi.
Katakanlah seseorang hendak menjadi cendekiawan/saintis/pengamal profesional tertinggi dalam apa juga disiplin, beliau perlu mengambil kira-kira 45 kredit peringkat Sarjana dan 45 kredit lagi pasca Sarjana.
Pembacaan meluas
Tujuan universiti di AS mewajibkan 90 kredit adalah untuk membantu pelajar membaca dengan meluas sekurang-kurangnya 1,200 jam bagi menguasai disiplin ilmu yang hendak dikuasainya.
Pembacaan itu distrukturkan oleh subjek atau mata pelajaran yang jumlahnya kira kira 30 mata pelajaran. Pembacaan bagi setiap mata pelajaran itu diajar, diselia dan diuji oleh pensyarah-pensyarah berkaitan.
Dengan cara demikian, seseorang calon PhD akan dapat melihat dengan jelas gambaran besar keseluruhan bidang ilmu yang ingin dikuasainya. Dari situ, beliau akan memilih sub-bidang yang diinginkan untuk dijadikan pengkhususan.
Tugas selanjutnya ialah mendalami sub-bidang dengan tekun. Ada kalanya untuk menekuni sub-bidang itu, calon akan memilih kumpulan mata pelajaran yang membantunya mendalaminya dan kerapkali calon mengambil lebih daripada minimum 90 kredit. Terkandung juga di dalam 90 kredit itu latihan calon memilih cara untuk membuat penyelidikan atau disebut metodologi supaya beliau menjadi seorang saintis yang cekap.
(Sebagai panduan, semasa saya menyambung pengajian ijazah Sarjana di AS, syarat untuk lulus Sarjana hanyalah 33 kredit tetapi saya telah mengambil 64 kredit sehingga saya lambat bergraduasi iaitu enam bulan lewat berbanding rakat kohort saya. Saya “menggila” dengan mengambil banyak kerja-kerja kursus sedangkan orang lain dengan jumlah kredit sedemikian, sudah boleh mendapat dua ijazah Sarjana. Namun, minat saya lain. Saya tidak berkeinginan mendapatkan banyak sijil).
Diuji secara menyeluruh
Selepas calon melalui kerja kursus minimum 90 kredit itu, calon akan diuji dalam peperiksaan menyeluruh atau “comprehensive examination”.
Lulus peperiksaan menyeluruh akan menjadikan seseorang calon itu diakui sebagai telah menguasai bidang atau disiplin yang diceburinya. Ada calon yang terpaksa mengambil peperiksaan menyeluruh beberapa kali.
Hanya selepas lulus peperiksaan menyeluruh, barulah seseorang calon PhD dibenarkan memulakan kerja-kerja untuk menghasilkan disertasi. Tajuk Disertasi pula dibina oleh calon dengan Jawatankuasa Penyelia selepas pelajar sudah melalui proses menguasai bidang, sub-bidang dan akhirnya suatu dimensi dalam sub-bidang iaitu tajuk disertasi. Disertasi hanya memenuhi atau mewakili sebahagian daripada persyaratan untuk bergelar Doktor.
Demikianlah proses yang perlu dilalui calon sebelum memilih sesuatu tajuk karya sains atau karya penulisan untuk peringkat 'Proposal Presentation'.
Biasanya, calon mengambil masa tiga tahun sebelum dapat mengenal pasti apa yang ingin diselidikinya. Di AS, pelajar distruktur dengan ketat meskipun tidak semua lepasan PhD di negara berkenaan yang menyedari tentang struktur ini dan rahsianya.
Lengkapkan diri
Bagi tradisi di United Kingdom (UK) pula, mereka menerima calon untuk terus mengemukakan cadangan penyelidikan PhD. Universiti di UK menganggap dan mengiktiraf seseorang calon yang membuat PhD sebagai rakan senior kepada ahli akademik di fakulti. Oleh itu, andaiannya ialah seseorang calon itu telah melengkapkan diri dengan ilmu yang lebar dalam disiplin yang telah diceburinya.
Calon berkenaan telah bertahun-tahun membaca dan bergelumang dengan kawan-kawan yang sama disiplin. Dalam tempoh itu, beliau mempunyai persoalan saintifik dalam fikirannya yang belum dijawab dengan memuaskan melalui pembacaannya mahupun melalui pendapat rakan-rakan ilmuan sama disiplin. Beliau sudah amat jelas dengan persoalan itu, dan tidak mempunyai cara lain kecuali memilih jalan ketiga iaitu melakukan proses penyelidikan saintifik.
Ingatlah, proses menjawab persoalan 'scientific curiosity' yang pertama adalah dengan membaca karya orang terdahulu. Bagi kedua pula, ia memerlukan calon untuk berdebat, berdiskusi, berforum, berseminar, berkolokium dan meminta nasihat daripada rakan sesama bidang.
Seseorang calon yang hendak membuat PhD adalah calon yang telah sekian lama bergelumang dengan aktiviti ilmu, tetapi masih ada persoalan besar dan saintifik yang belum terjawab.
Memulakan penyelidikan
Sebagai seorang Sarjana Senior, ahli ilmu itu boleh sahaja melakukan kerja penyelidikannya bersendirian dan kemudian membentangkannya untuk dikritik oleh rakan sama bidang selepas memperoleh dapatan penyelidikan. Sebab itulah, di UK ada peraturan dalam memperoleh ijazah PhD terhadap karya saintifik yang sudah selesai dan kemudiannya dinilai oleh beberapa penilai yang dilantik oleh pihak universiti.
Namun, ramai yang memilih 'journey' mencari kebenaran baharu itu untuk disahkan oleh seseorang atau lebih rakan senior sejak dari peringkat awal menetapkan 'proposal' mereka. Rakan senior itu digelar sebagai penyelia. Terdapat perbezaan tradisi bagi Jawatankuasa di AS berbanding dengan Tradisi Penyelia Individu di UK.
Cabaran penyelidikan
Di UK, selepas calon PhD mendapat penyelia, biasanya penyelia berkenaan akan mencabar calon untuk memikirkan semula apakah 'Scientific Curiosity' itu benar-benar sah dan memerlukan penyelidikan? Tidak kiralah sama ada penyelidikan empirikal, makmal atau teoretikal. Sebab itu, penyelia yang benar-benar tahu peranannya akan berterusan mencabar rakan kanannya itu yang mungkin keresahan dengan persoalan yang belum dijawab.
Cara pertama yang dilakukan penyelianya ialah meminta rakan kanan iaitu calon supaya membaca semula selagi ada karya orang terdahulu dalam bidang berkenaan dan membentangkannya kepada penyelia. Sekiranya penyelia adalah seorang yang ‘pemurah’ (saya tidak gunakan istilah penyelia baik), penyelia itu akan memberi dan menyarankan calon supaya membaca senarai bacaan yang disediakan penyelia dan kembali kepadanya dengan ulasan. Ini bertujuan melatih calon untuk melakukan pembacaan dan mengkritik yang dikenali sebagai ‘critical review of related literature'.
(Semasa saya menyambung pengajian ijazah PhD di UK, saya mengalami kejutan kerana sebelum ini memperoleh ijazah Sarjana daripada sistem AS yang sangat berstruktur dan terarah. Penyelia saya iaitu Profesor Herries Jenkins yang juga dekan fakulti tempat saya melakukan kerja-kerja PhD, tidak memberi saya sebarang senarai. Sebaliknya, beliau meminta saya menyediakan senarai 'exhaustive' karya-karya terdahulu dalam bidang yang saya ingin kuasai. Berbulan-bulan lamanya saya mencari senarai buku dan penulis dalam bidang berkenaan melalui carian di perpustakaan, Cd-Rom, jurnal, seminar, kolokium, siri penerbitan di universiti-universiti termasuk yang tidak diterbitkan dalam bentuk tesis terdahulu atau apa sahaja).
Senarai panjang ini merangkumi ratusan karya terdahulu disampaikan kepada penyelia sebagai langkah pertama memastikan bahawa 'scientific curiosity' saya adalah tulen, dan bukan kerana calon yang sebelum ini tidak cukup membaca. Calon perlu memastikan cadangan tajuk tidak sama dengan tajuk calon PhD lain atau jika ada, mungkin dimensi atau perspektif yang berbeza.
Sesudah itu, calon akan membuat ringkasan setiap karya berkenaan kerja ini kemudian menjadi suatu bab yang dinamakan sorotan karya terdahulu atau 'review of related literature'. Di sinilah perbezaan proses melakukan kerja penyelidikan di AS dan di UK.
Di AS, kerja kursus atau mata pelajaran membantu calon mengenali karya-karya dalam bidang dan sub-bidang yang diberi tugasan oleh pensyarah berbanding di UK yang bersifat kerja persendirian atau 'independent study' supaya calon benar-benar kenal bidangnya secara komprehensif dan tahu tentang sub-bidang daripada bidang yang luas dan lebar itu. Daripada situ, barulah calon memilih perkara yang ingin didalaminya daripada sub-bidang berkenaan lalu dijadikan tajuk tesis penyelidikannya.
Jawab persoalan
Selepas proses itu selesai, barulah penyelia mengesahkan bahawa 'scientific curiosity' itu adalah tulen dan hanya akan terjawab oleh proses penyelidikan atau selalu disebut 'it warrants a research' dan munasabah.
Persetujuan dua rakan senior iaitu calon PhD dan penyelia akan diuji pula dalam satu majlis ilmu yang dinamakan sesi mempertahankan cadangan tesis yang akan dihadiri oleh seramai mungkin orang dalam dan luar bidang yang berminat untuk mengkritik, menyokong dan menyarankan pembaikan kepada cadangan itu.
Tujuannya ialah supaya tiada lagi keraguan munasabah bahawa persoalan calon sememangnya memerlukan jawapan melalui penyelidikan. Tidak terjawab melalui pembacaan dan tidak juga terjawab oleh pakar dalam bidang secara saintifik. Jika ada jawapan, ia hanyalah pada aras pendapat yang tidak disokong oleh bukti kelas pertama. Cara penyelidikan itu juga dipilih daripada cara yang menepati bagi menjawab persoalan itu. Di sinilah biasanya muncul istilah penyelidikan kualitatif, kuantitatif atau triangulasi kedua-duanya, ujian makmal atau pelbagai kaedah lain lagi.
Nampaknya, baik di AS atau di UK, matlamat penyelidikan PhD adalah sama sahaja. Ia adalah suatu latihan untuk menjawab persoalan saintifik tak kira apa disiplin yang digunakan untuk menjawab persoalan itu. Yang berbeza hanyalah prosesnya dengan di AS, ia menstrukturkan penguasaan bidang melalui kerja kursus manakala di UK, calon bebas menguasainya sendiri dengan pengesahan daripada penyelia.
Ramai pihak terlibat dalam proses menyiapkan PhD di AS seperti pensyarah, jawatankuasa, penilai komprehensif dan sebagainya. Oleh itu, sesiapa pun boleh menawarkan diri menjadi calon. Pengesahan menjadi calon biasanya disahkan selepas setahun berada dalam program yang dipanggil 'pencalonan'.
Di UK, seorang calon dianggap telah mempunyai kedudukan tinggi dalam bidangnya. Sebab itu ada masanya, seseorang yang sudah ada ijazah Sarjana memohon untuk menjadi calon PhD diletakkan dahulu pada kedudukan Sarjana Falsafah. Setelah penyelia berpuas hati, barulah calon itu dianggap calon PhD. Sistem di UK juga memberi peluang kepada pelajar cemerlang Sarjana Muda yang mendapat Kelas Pertama atau yang berpengalaman lama dalam bidang untuk menjadi calon PhD tanpa ijazah Sarjana.
Saya terkenang tradisi pengajian tinggi Bologna di mana para pelajarnya adalah mereka yang sudah berkedudukan tinggi dalam masyarakat berbanding tradisi pengajian tinggi Cathedral Parisian yang dengan ketata mengatur para pelajarnya. Tradisi Bologna dikenali sebagai ‘Student University’ dan di Paris pula adalah ‘Master University’. Campur tangan Sarjana adalah lebih nyata dalam proses PhD di AS berbanding di UK yang memberi lebih banyak kuasa kepada pelajar.
Keadaan di Malaysia
Malaysia ada kalanya bercampur aduk antara kedua-dua tradisi tersebut kerana latar belakang pengajian tinggi pihak berkuasa universiti dan para pensyarahnya.
Lulusan UK dan lulusan AS dalam kalangan pihak berkuasa universiti adalah hampir sama ramainya. Ini mempengaruhi tradisi universiti di Malaysia dalam proses dan pendekatan kerja-kerja ijazah PhD.
Apa pun matlamatnya, ia mestilah sama iaitu bagi menjawab 'scientific curiosity' yang tak terjawab oleh bangun tubuh ilmu sedia ada yang sudah direkodkan dan tidak juga dijawab oleh rakan sama bidang secara lisan melalui medium ilmuan seperti seminar, kolokium, bengkel dan sebagainya.
--BERNAMA
Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah