NOTA KAMPUS

BERINOVASI DENGAN BAHAN TERBUANG, JANA PENDAPATAN B40 ERA COVID-19

17/06/2020 07:49 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Irwan Syah Md Yusof

Pada saat negara memerangi pandemik COVID-19, ramai masyarakat yang terkesan akibat tidak dapat melakukan perkerjaan seperti biasa malah berpotensi untuk kehilangan pendapatan. Kerajaan menjangkakan kira-kira 1 juta rakyat kehilangan pekerjaan kesan daripada pandemik yang melanda negara.

Berdasarkan kajian khas berkaitan kesan COVID-19 pada ekonomi dan individu yang melibatkan 168,182 responden yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, 94.8 peratus mengalami penurunan pendapatan. Manakala 46.6 peratus berpotensi kehilangan pekerjaan.

Golongan B40 merupakan kumpulan yang terkesan dan mengalami defisit pendapatan yang sangat ketara pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada 18 Mac 2020 yang sehingga kini telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kumpulan ini perlu melakukan sesuatu bagi menampung perbelajaan harian mereka agar dapat menjamin kelangsungan hidup meskipun pihak kerajaan ada menyediakan bantuan khas bagi golongan yang terjejas.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan dan tidak memerlukan modal yang tinggi bagi golongan B40 ini adalah melalui penghasilan reka cipta daripada bahan-bahan terbuang yang mudah diperoleh sekitar kawasan tempat tinggal mereka. Pendekatan ini mampu menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan dan secara tidak langsung menjadikan masyarakat yang kreatif dan berinovasi.

KREATIVITI BERI NILAI TAMBAH

Mungkin ramai antara kita kurang sedar akan kebolehgunaan bahan atau barang yang telah rosak mampu menghasilkan sesuatu produk atau kegunaan lain yang boleh mendatangkan nilai komersial yang lebih baik. Tanpa kita sedar, melalui penambahbaikan yang dilakukan dapat mengurangkan pembaziran serta menjimat kos pembelian barangan baharu.

Antara bahan terbuang yang mudah diperoleh dan mampu mendatangkan nilai komersial yang tinggi adalah tayar kenderaan terpakai yang boleh diinovasikan menjadi perabot rumah seperti tempat duduk, meja sudut, tempat penyimpanan barangan dan pelbagai lagi. Tidak ketinggalan ia juga boleh dijadikan hiasan di restoran, kedai makan dan banyak lagi melalui penambahbaikan yang dilakukan.

Terdapat bahan yang mudah peroleh dan sering digunakan dalam kehidupan harian yang mampu mendatangkan sumber pendapatan seperti kotak pembungkusan yang tidak digunakan lagi. Kotak ini boleh diinovasikan dalam pelbagai reka cipta baharu yang mempunyai nilai tambah komersial melalui penambahbaikan yang mudah dan tidak memerlukan modal yang banyak untuk dihasilkan.

Produk inovasi yang boleh dihasilkan melalui penggunaan kotak dan mempunyai permintaan kalangan masyarakat ketika kini adalah seperti bingkai hiasan dinding rumah, bekas simpanan barang peribadi, bekas hadiah hantaran perkahwinan atau apa-apa majlis dan pelbagai lagi kegunaan dapat dihasilkan daripada kotak.

Inovasi juga dapat dilakukan melalui sisa makanan yang secara tidak disedari boleh mendatangkan sumber pendapatan selain dapat mendidik serta memupuk sifat tanggungjawab terhadap kelestarian alam. Sisa lebihan makanan ini boleh diinovasikan untuk dijadikan baja organik bagi tanaman. Peranan komuniti adalah amat penting bagi menjayakan program ini yang secara tidak langsung ekonomi komuniti setempat dapat ditingkatkan dengan penghasilan baja organik dalam kuantiti yang banyak daripada sisa makanan dan akhirnya dapat dijual kepada petani.

PASARAN BUKAN ISU

Terdapat kegusaran sekiranya produk inovasi yang dihasilkan daripada bahan terbuang ini tidak mendapat sambutan dan permintaan di pasaran. Persepsi sebegini seharusnya dilenyapkan kerana inovasi daripada bahan-bahan terbuang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat ketika ini. Hal ini dapat dibuktikan apabila pihak kerajaan giat melakukan advokasi kepenggunaan melalui pendekatan inovasi bahan-bahan guna semula seperti melakukan kempen 'from waste to value'.

Pada era milenium ini, terdapat banyak ruang dan kaedah untuk produk inovasi ini dipasarkan selain kaedah konvensional, seperti ruang media sosial (Facebook, Instagram) dan jualan dalam talian (Lazada, Shoppe dan CJ WOW Shop). Sehubungan itu, adalah tidak menjadi persoalan bagaimana dan di mana produk ini boleh dipasarkan.

Adalah diingatkan kembali, terdapat banyak lagi inovasi daripada bahan terbuang dapat dihasilkan selain daripada contoh yang diberikan dan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Contoh inovasi yang diberikan hanya untuk memberi insprasi dan membuka minda kepada golongan B40 bahawa terdapat alternatif lain yang mudah dan tidak memerlukan modal besar bagi menjana pendapatan sampingan.

Masyarakat tidak seharusnya mengharapkan seratus peratus bantuan kerajaan tanpa ada usaha sampingan dilakukan. Melalui pendekatan ini secara tuntasnya mampu menjadi sumber pendapatan sampingan untuk golongan B40 dalam membantu menangani kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan sumber pendapatan.

Secara tidak langsung pendekatan ini juga mampu melahirkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi serta bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar melalui mereka cipta kembali bahan terbuang menjadi produk yang mempunyai nilai tambah. Perkara ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu membantu golongan B40 mempertingkatkan sektor ekonomi dan kesejahteraan hidup.

-- BERNAMA

Dr Irwan Syah Md Yusoff merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)