SUARA BELIA

Data peribadi terdedah, tapi jangan menyerah

13/07/2020 08:20 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Irfan Faruqi

Merumuskan pencapaian manusia pada abad ke-21 merupakan suatu yang menarik. Menyimpulkan jatuh bangun suatu zaman dalam satu istilah. Istilah yang
menggambarkan dan mengekspresikan zeitgeist atau semangat zaman tersebut. Pemilihan istilah itu penting kerana nada yang dibawa oleh istilah itu mengabadikan
imej sesuatu zaman, sama ada ia keemasan, rancak, dingin, suram atau edan. Pada tahun 2016, Forbes melalui artikel yang ditulis oleh Nelson Granados,

Pengarah Eksekutif Institut Hiburan, Media, Sukan dan Budaya dari Pepperdine University, memperakui bermulanya Zaman Media Baharu pada tahun tersebut.
Empat tahun berikutnya, pada tahun 2020 ini, istilah serta apa yang dimaknai oleh terma tersebut tidak lagi tepat bagi menggambarkan realiti dunia digital semasa.
Zaman Pasca-Media Baharu merupakan istilah yang lebih tepat. Ini kerana, hari ini kita bukan sahaja membahaskan tentang penguasaan media; khususnya
media sosial, dalam aspek dagangan dan sirkulasi maklumat. Lebih daripada itu, hari ini kita sedang dan mesti membahaskan tentang pengaruh media dalam semua
aspek biologi, psikologi dan sosiologi manusia.

Menyebut tentang media tidak lagi terbatas hanya kepada soal kod binari dan algoritma. Kini, media itu juga memberi kesan kepada kesihatan tulang belakang,
tindak balas kimia otak dan hubungan bermasyarakat. Ya, hal ini menyedarkan kita semua betapa pentingnya untuk kita terdidik dan bersiaga dengan kemahiran serta
kematangan berfikir laras baharu apabila berdepan dengan cabaran baharu ini.

Proproduktiviti bukan prodoktrinisasi


Lanjutan itu, artikel ini sebenarnya berhasrat untuk menuding ke arah golongan pascabelia yang tidak kurang semangat mereka apabila menasihati
generasi belia hari ini berkenaan amaran-amaran dan mara bahaya dunia digital – media sosial. Naratif memomokkan betapa gelapnya dunia internet dan betapa terdedahnya pengguna kepada jenayah; penipuan, pencerobohan dan kecurian, adalah sangat tidak sihat, tidak produktif.

Seperkara yang boleh diperakui adalah perkara yang dinasihatkan itu betul. Itu bukan isu yang dimaksudkan. Isunya adalah mengenai cara atau emosi nasihat
tersebut diberikan. Nasihat itu baik, tapi yang tidak munasabahnya ialah nasihat itu disulam dengan sindiran kepada generasi belia hari ini seolah-olahnya lemah,
setahun jagung, serba tak tahu dan kurang pengalaman. Lebih tidak masuk akal apabila ditegaskan sebab mengapa nasihat mereka perlu dipatuhi adalah atas
alasan makan garam.

Sepatutnya, apapun nasihat yang diberikan kepada sesiapapun oleh sesiapapun; tua, muda, alim atau sekadar cakap-cakap di jalanan, mestilah ditiup
dengan semangat positif. Bukan momokan atau doktrin. Pendidikan berasaskan kesedaran. Tidak mematikan rasa ingin tahu. Membenarkan penerokaan dunia dan
pengalaman baharu. Bukannya ditambat pada nostalgia dulu-dulu.

Cabaran zaman dulu tidak sehebat sekarang


Berbanding suasana sosial generasi belia pada era 70-an, yang ditandai dengan pelaksanaan Resolusi 1514(XV) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
berkaitan dekolonisasi negara-negara terjajah. Menjelang 1970-an, dunia ketika itu mengalami ‘keamanan’ setelah berakhirnya siri konflik-konflik besar dunia; Perang
Dunia ke-2 pada 1945, Perang Korea 1953, Krisis Peluru Berpandu Cuba pada 1962, Perang Vietnam pada 1975. Di Malaysia pula, kita baru sahaja melalui dua
babak cemas dalam sejarah negara iaitu Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1966 dan Peristiwa 13 Mei 1969.

Rentetan itu, suasana tenteram yang dirasai oleh kita di Malaysia dan seluruh dunia ketika itu sangatlah berharga. Bahkan, kerana adanya waktu aman itu telah
mencetuskan kala pertumbuhan ekonomi dan sosial yang sangat subur. Dari segi populasi dunia, kadar kelahiran mencanak naik. Betapa signifikannya kenaikan
kadar kelahiran sehingga dinamakan generasi tersebut sebagai baby boomers. Yang demikian, bagi belia 1970-an pencapaian yang dikecapi era tersebut
adalah sangat jelas dan monotonous. Adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa generasi belia ketika itu bernasib baik dapat hidup selesa tanpa banyak
kebimbangan kerana segala konflik besar sudah berlalu. Oleh itu, mereka membesar dalam kala ‘menikmati kemenangan/keamanan’.
Belia hari ini sering kali dicucuk oleh generasi pascabelia dengan kenyataan seperti “zaman kami dulu”, “kami dulu boleh, kenapa sekarang tidak” dan “budak-
budak zaman sekarang tak macam kami dulu-dulu”. Ada istilah khas yang popular yang digunakan bagi meyimpulkan sikap tersebut iaitu istilah ‘good old days’, yang
konotasinya persis seperti ungkapan ‘zaman kami dulu’.

Kitaran pembangunan dan pencapaian pantas

Meskipun terlalu awal untuk menyimpulkan apakah zeitgeist semasa, suatu realiti yang tidak boleh dinafikan adalah tempoh 20 tahun belakangan ini merupakan
kala kitaran pembangunan dan pencapaian yang sangat pesat. Dalam masa yang singkat, kita dipasarkan dengan industri baharu kreatif digital, pasaran kerja bersifat
baharu, teknologi pemasaran baharu dan model telefon pintar baharu setiap enam bulan. Perkara pokoknya bukan pada terma ‘baharu’ itu, sebaliknya ialah pada sifat pencapaian ini yang sentiasa bertambah baharu dan baik. Bayangkan saja, 105 tahun diperlukan untuk berganjak daripada Revolusi Industri (RI) Pertama kepada RI
ke-2. Manakala, hanya 47 tahun sahaja masa yang diambil untuk berpindah daripada RI ke-3 kepada RI ke-4. Maknanya perkembangan teknologi akan menjadi
semakin cepat dan singkat.

Kesannya ialah belia akan terus terdedah kepada teknologi baharu dan pengalaman baharu. 365 hari setahun tidak akan berlalu dengan hanya satu atau
dua peristiwa besar. Sebaliknya, dalam masa satu tahun itu, belia akan diperkenalkan dengan beberapa penciptaan dan kemas kini penciptaan tersebut;
platform hiburan, trend menikmati hari-hari dan pengalaman interaksi sosial yang tidak pernah terbayang sebelum ini.

Tegas bersikap mesra kemajuan

Sampai sahaja di perenggan ini, setelah membaca hujah-hujah di atas, pasti berbangkit persoalan mengenai apa kaitan antara topik keselamatan dan privasi
data dengan ‘nasihat’ tentang cara penggunaan media sosial. Sebagaimana yang dinyatakan pada awal penulisan ini, premis perbincangan bukan pada persoalan
apakah nasihat yang patut diberikan. Sebaliknya, premis perbincangan adalah pada kaedah mendekati topik keselamatan data; sikap seawal berdialog dan nada
sepanjang diskusi.

Subjek perbincangan ialah soal keselamatan siber, tetapi keprihatinan penulis adalah pada objek perbincangan – belia. Untuk membentuk jiwa belia yang matang
dan berkepemimpinan, tidak boleh ditanam dalam benaknya dengan halangan, sekatan dan larangan. Sewajibnya, yang disemai ialah motivasi bersifat peluang,
mesra dan etika.


Mungkin ungkapan yang tuntas bagi menggambarkan kepentingan dan kaedah pembentukan belia ini adalah dengan kembali kepada prinsip pendidikan
awal kanak-kanak, yang hakikatnya malar hijau dan terpakai dalam proses mendidik semua generasi termasuk belia. Iaitu, bermain merupakan medium terbaik untuk
membentuk sikap berdikari, kecekapan kognitif dan kompetensi sosial. Atau dengan erti kata lain, dilentur belia ini melalui pengalaman mereka sendiri, bukan dilentur
mengikut selera pelentur rebung.

Tip keselamatan data


Ada banyak sekali tip yang boleh ditemukan terkait hal ini. Namun, bagi tujuan penulisan ini, penulis lebih cenderung untuk menawarkan tip bersikap berani
menongkah arus. Pertamanya, amalkan kesedaran risiko. Sentiasa peka bahawa setiap klik mempunyai risiko tersendiri. Oleh itu, pastikan diri tahu sepenuhnya risiko;
baik dan buruk, suatu tindakan. Sekirnya bersedia untuk bertanggungjawab dengan semua akibat klik tersebut, sila teruskan. Jika tidak pasti, jangan teruskan.

Dua, tanggapan pertama bagi setiap perkara yang dijumpai melalui internet; orang, produk, skim, berita, maklumat dan seterusnya, adalah sangsi. Apapun yang
ditemukan melalui media sosial, contohnya, adalah tidak benar sehingga terbukti dengan jelas dan nyata tanpa keraguan bahawa ia adalah benar – terpakai ke atas
semua termasuk akaun profil yang mengaku ia bukan palsu.

Ketiga, tidak perlu jujur tapi mesti sentiasa jaga tatasusila. Tidak ada sesiapapun atau mana-mana entiti dalam apa-apa platform siber yang boleh
memaksa diri mendedahkan apa jua maklumat – nama, nombor telefon, alamat e-mel, alamat rumah, gambar muka, nama kucing, filem kegemaran dan seterusnya.
Kecuali platform yang diselia oleh undang-undang negara secara ketat seperti bank dan perkhidmatan kerajaan.

Selamat meneroka

Akhirnya, mesej yang ingin disampaikan hanya satu, iaitu jangan takut untuk berinteraksi dengan teknologi. Yang wujud bukannya ancaman, sebaliknya yang ada
hanyalah risiko. Sifat risiko ialah kita mempunyai pilihan sebanyak mana risiko yang ingin kita hadapi. Pilihan di tangan anda. Ya, jika data kita terdedah, tidak bermakna
kita perlu menyerah dan melarikan diri. Manfaatkan ‘kegilaan’ belia untuk mengatasi cabaran yang ada. Berlindung di bawah tempurung, sebenarnya bukan
perlindungan. Dan berani mati sebenarnya bukan mencari mati, sebaliknya mencari hidup untuk dinikmati.

-- BERNAMA
Irfan Faruqi ialah pengacara Darah Muda terbitan Bernama TV

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)