TINTA MINDA

STRATEGI DIPLOMASI SAINS TANGANI PANDEMIK

10/08/2020 09:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Bakri Bakar

Pencegahan lebih baik daripada perawatan. Kita belum menang dalam mengawal penularan wabak COVID-19. Tempoh masa penghasilan vaksin belum dapat dijangka dan langkah berjaga-jaga perlu diteruskan.

Dalam konteks ini, negara kita masih kekurangan kemudahan dan infrastruktur untuk menghasilkan vaksin dengan sendiri. Pada masa yang sama, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan pusat penyelidikan pembangunan vaksin kebangsaan.

Sehingga itu, bekalan vaksin perlu diimport dari luar negara untuk pelbagai tujuan perawatan termasuk untuk COVID-19. Justeru, kita perlu memastikan negara mempunyai akses terhadap kemajuan pembangunan vaksin untuk COVID-19.

Diplomasi sains

Seterusnya, kita juga seharusnya tidak ketinggalan untuk memperolehi vaksin tersebut apabila ia tersedia. Mengikut laporan, tiga kementerian iaitu Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar telah proaktif bekerjasama untuk memastikan Malaysia berjaya mendapatkan vaksin tersebut.

Selain MOSTI dan KKM, Kementerian Luar berperanan penting dalam menggerakkan hubungan diplomatik negara bagi memastikan Malaysia diberi keutamaan serta dilibatkan dalam proses penghasilan vaksin. Harapannya, inisiatif ini dapat mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan vaksin.

Secara umum, pendekatan kerjasama sebegini dikenali sebagai diplomasi sains. Inisiatif ini melibatkan sains sebagai medium untuk hubungan dan interaksi merentas sempadan bagi menyelesaikan permasalahan bersama.

Diplomasi sains melalui jaringan antarabangsa adalah penting dalam mendepani COVID-19. Mengikut rekod, kejayaan diplomasi sains telah diakui melalui kebersamaan negara secara global menandatangani Protokol Montreal bagi menangani permasalahan penipisan ozon.

Kini, cabaran pandemik turut memerlukan penglibatan seluruh komuniti antarabangsa merentas negara. Diplomasi sains terus diperlukan bagi menghubungkan semua pihak bagi berkongsi penemuan semasa serta amalan terbaik penyelesaian jangkitan wabak.

Kerangka tindakan diplomasi sains dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu diplomasi untuk sains dan sains untuk diplomasi. Diplomasi untuk sains mengupayakan hubungan diplomatik antara negara yang sedia ada bagi memperkasakan kerjasama sains untuk manfaat bersama.

Manakala, sains untuk diplomasi adalah menjadikan sains sebagai wahana bagi meningkatkan hubungan diplomatik antara negara. Kedua-dua aspek ini berperanan penting dalam mendepani cabaran pandemik semasa.

Kepakaran sains dan kemajuan teknologi

Pastinya kebanyakan negara mempunyai kepakaran sains serta kemajuan teknologi dalam menawarkan penyelesaian yang berkesan. Ini termasuklah penggunaan kaedah pengesanan kes COVID-19 secara bersegera selain penghasilan vaksin.

Justeru, hubungan diplomasi yang baik akan memudahkan akses negara terhadap pelbagai kepakaran, infrastruktur dan sumber data daripada seluruh dunia. Malah, rekod penglibatan negara dalam kerjasama penyelidikan saintifik global berupaya membantu menarik peluang penyelidikan baharu berkaitan COVID-19.

Menariknya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memilih Malaysia sebagai antara negara untuk mengkaji potensi ubatan bagi merawat COVID-19 melalui projek Solidariti. Selain itu, negara kita juga mampu menawarkan kepakaran penyelidikan praklinikal dan klinikal melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengkaji keberkesanan dan keselamatan ubatan atau vaksin.

Begitu juga, negara kita berkeupayaan mengeluarkan vaksin dalam skala yang besar selepas vaksin ditemui. Semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui jaringan diplomasi melibatkan kerjasama merentas negara.

Selain itu, usaha kita dalam menangani COVID-19 turut diakui apabila Ketua Pengarah Kesihatan KKM telah menerima pengiktirafan kecemerlangan bersama dengan dua pakar dunia yang lain. Kejayaan ini menandakan tadbir urus kawalan pandemik di Malaysia menjadi penanda aras untuk dirujuk negara lain.

Harus diingat, penglibatan Malaysia dalam kerjasama saintifik antarabangsa bukanlah suatu yang baharu. Misalnya kita telah lama diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengetuai International Science, Technology and Innovation Centre for South-South cooperation (ISTIC).

Negara kita turut berperanan aktif memberikan input sains dalam membangunkan negara serantau menerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Malah, negara-negara membangun turut mengharapkan sumbangan daripada kepakaran santifik negara.

Dimensi sains untuk diplomasi

Seterusnya, dimensi sains untuk diplomasi pula adalah lebih kompleks dan turut melibatkan cabaran geopolitik dunia. Proses nyah globalisasi yang meningkatkan keutamaan untuk menjaga kepentingan negara masing-masing turut menjadi cabaran dalam memperjuangkan agenda sains bersama.

Bagaimanapun, permasalahan seperti COVID-19 adalah satu krisis antarabangsa yang tidak mengenal sempadan negara. Harapannya, sains berupaya merintis jalan dan menjadi wahana kesatuan antara negara dalam menghadapi permasalahan pandemik semasa.

Sememangnya laluan sains untuk diplomasi masih sukar dicapai bagi sesetengah negara. Misalnya, lebih tujuh puluh pemenang Anugerah Nobel di Amerika Syarikat telah menyuarakan bantahan terhadap pembatalan geran penyelidikan berkaitan koronavirus yang melibatkan kerjasama Amerika Syarikat dan China.

Dalam konteks ini juga, setiap negara boleh memanfaatkan kepakaran saintis yang telah sedia mempunyai rangkaian hubungan global melalui penyelidikan ataupun konsortium antarabangsa. Menariknya, cabaran pandemik semasa turut merubah sistem penyelidikan global dengan membuka ruang akses dan perkongsian data secara besar-besaran merentas negara.

Melihat ke hadapan, saintis perlu terus berusaha meyakinkan kerajaan dan pembuat polisi untuk memanfaatkan diplomasi sains serta menggunakan input sains dalam setiap tindakan. Hubungan dibina melalui kerjasama sains diyakini dapat meningkatkan kepercayaan dan meredakan pertelingkahan antara negara.

Penghasilan vaksin dalam mencegah COVID-19 memberikan contoh terbaik keperluan untuk meningkatkan kerjasama merentas negara. Kita seharusnya terus memposisikan kedudukan negara sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan berkapasiti dalam membantu dunia mendepani pandemik semasa dan akan datang.

-- BERNAMA

Dr Mohd Bakri Bakar ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)