DIARI MEDIA

ANUGERAH BIASISWA CHEVENING, WARTAWAN BERNAMA KONGSI PERJALANAN DAN RANCANGAN

04/09/2020 07:00 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

KUALA LUMPUR, 4 Sept -- Sebagai wartawan pertama daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dianugerahkan Biasiswa Chevening yang berprestij daripada kerajaan United Kingdom (UK), Joan Santani diselubungi emosi.

Wartawan berusia 34 tahun yang bakal menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam Kewartawanan di Birkbeck, University of London itu berkata, dirinya sangat berbesar hati kerana terpilih, dan turut berkongsi perjalanan sukar yang ditempuhnya sepanjang tempoh lapan bulan proses permohonan dan pemilihan anugerah itu.

"Menulis esei, membuat persediaan untuk temuduga, dan menduduki peperiksaan IELTS adalah rintangan utama untuk diatasi ... (dan) ketika Sekretariat Chevening mula mengumumkan nama calon yang telah dipilih untuk peringkat temuduga, saya tidak menerima sebarang e-mel pemberitahuan sama ada terpilih atau sebaliknya.

"Pada ketika ini, saya benar-benar gementar; saya bertanyakan pandangan seorang Alumni Chevening yang mencadangkan agar saya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Britain sebelum seorang pegawai di sana memaklumkan nama saya disenarai pendek untuk temuduga, ” kata Joan kepada Bernama selepas majlis penyampaian anugerah Biasiswa Chevening di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Britain Charles Hay, di sini, semalam (3 Sept).

Joan, yang kini bertugas di pejabat Pengerusi Bernama, berkata pada 23 Jun - setelah menunggu lama - beliau menerima e-mel daripada Sekretariat Chevening yang memaklumkan dirinya terpilih sebagai penerima biasiswa itu.

"Membaca beberapa perkataan awal bertulis," Dengan sukacitanya kami memaklumkan kepada anda...” dan itu saja telah cukup sebagai bukti," kata Joan dengan tangisan kegembiraan.

Joan berkata Biasiswa Chevening adalah pintu masuk baginya untuk meningkatkan pengetahuannya, memperluas pandangan dunianya, dan mengasah kepemimpinan dan kemahiran sosialnya, paling penting adalah untuk meningkatkan perjalanan karier beliau sebagai wartawan.

"Saya percaya dengan mengambil ijazah sarjana dalam Kewartawanan di Birkbeck, University of London, akan membantu melengkapkan saya dengan pengetahuan ketika meneliti isu-isu tempatan atau antarabangsa secara mendalam, dengan melihatnya daripada pelbagai perspektif.

"Dan tentu saja, ia peluang buat saya untuk memperluas jaringan hubungan saya dan mengenali UK yang kaya dengan warisan budaya,” katanya yang telah lapan tahun berkhidmat di Bernama.

Joan berkata, biasiswa itu juga akan membolehkannya melihat secara langsung bagaimana kerajaan Britain menangani pandemik COVID-19, kecekapan dan cabaran yang dihadapi oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional negara itu, serta masalah yang lebih dekat dengan tanahair, seperti pelancongan antara UK dan Malaysia.

Beliau adalah antara 38 penerima Biasiswa Chevening Malaysia yang akan melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka di UK.

-- BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)