Globalisasi adalah satu fenomena yang melanda seluruh dunia pada masa kini yang mana terjahan maklumat menerusi perantaraan media komunikasi seperti teknologi komputer, internet, media elektronik, dan teknologi siber telah menyumbang kepada lonjakan disiplin ilmu ke satu tahap yang lebih tinggi dan bersifat terbuka. Impak daripada globasisasi ini, disiplin ilmu seni kreatif juga telah berubah secara total.
Ironinya, globalisasi ditafsirkan sebagai proses yang meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Berdasarkan kefahaman ini, globalisasi turut dikenali dengan pelbagai istilah seperti dunia tanpa sempadan (borderless world), kampung global atau desa sejagat (global village) dan juga dasar langit terbuka (open sky policy). Ia menjadi suatu fenomena baharu dalam mewujudkan ciri-ciri pensejagatan. Dalam erti kata lain, dunia dijadikan suatu pentas yang amat kecil agar mudah terjangkau dalam waktu yang singkat oleh individu.
Disiplin ilmu seni
Seiring dengan perkempangan pesat era globalisasi norma baharu ini, penggabungan disiplin ilmu seni dengan disiplin ilmu Sains dan Matematik menerusi bidang reka bentuk grafik dan industri melalui penggunaan teknologi komputer merupakan perkara penting ke arah usaha mengintelektualkan disiplin ilmu seni. Contohnya dengan penghasilan karya seni kreatif yang berteraskan teknologi dan media berkomputer, bukan hanya mampu menghasilkan kerja seni yang diberi nilai tambah (inovasi) malah banyak memberi impak kepada negara.
Namun, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun, pastinya usaha merealisasikan hasrat ini dikekangi oleh pelbagai cabaran dan peranan yang harus dipikul oleh penggiat ilmu seni kreatif.
Dalam dunia pendidikan, globalisasi menjadikan segala maklumat boleh dipelajari dan diakses dengan mudah menerusi teknologi komputer (internet) walau di mana jua berada. Justeru, bentuk pendidikan seni dalam era globalisasi seharusnya bersifat lebih mantap dan berdaya saing dalam memenuhi konsep langit terbuka (open sky) agar dapat berkembang seiring dengan perkembangan teknologi komputer kini. Justeru, kaedah pembelajaran dalam talian (online) dilihat berupaya menjadi pemangkin usaha dalam memartabatkan pendidikan seni di Malaysia terutamanya apabila serangan pandemic COVID-19 melanda dunia.
Pedagogi pendidikan seni
Dalam konteks pendidikan di Malaysia pula, pelajar perlu dibentuk atau didik agar menjadi insan yang berupaya untuk memahami kewujudan bangsa dan kaitannya dengan kewujudan bangsa-bangsa lain dan juga segala persoalan dunia. Untuk itu, perkembangan pendidikan di Malaysia dalam era globalisasi telah mengambil kira tiga aspek iaitu pembinaan negara (state building) dan pembinaan bangsa (nation building) serta pembinaan keupayaan berdaya saing (capacity building). Malahan, Kurikulum Pendidikan Seni Kreatif di Malaysia menuntut penelitian lebih terperinci agar ia selari dengan era globalisasi norma baharu yang kian mencabar.
Pedagogi pendidikan seni yang lazim digunapakai terdahulu dikenali sebagai pendekatan bercerita (narrative approach), mengarahkan murid atau pelajar untuk mengingati secara mekanis tentang isi pelajaran yang disampaikan. Dengan demikian, tugas murid lebih kepada mendengar,mencatat,mengingati dan mengulangi ungkapan yang disampaikan oleh pengajar tanpa fokus kepada memahami erti dan makna sepenuhnya. Tambahan pula dengan faktor kekurangan fasiliti seperti peralatan komputer terkini dan capaian internet yang kurang memuaskan. Kedaifan kemahiran menggunakan komputer pula antara alasan yang diberi untuk tidak melibatkan diri secara proaktif. Situasi ini telah menjadikan iklim pembelajaran yang pasif dan tidak menggalakkan kreativiti pelajar dalam pembelajaran Pendidikan Seni.
Pendidik seni sepatutnya bertindak sebagai platfom bagi pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan dan menterjemahkan idea kreatif mereka. Justeru, pendidik seni dalam era globalisasi, seharusnya bertindak sebagai moderator yang kompeten dan berupaya menyerap serta menyediakan diri untuk menyampaikan ilmu secara berkesan menerusi penggunaan teknologi komputer khususnya dalam kaedah pengajaran secara konstruktivisme.
Pakar-pakar dalam bidang seni juga harus memperlengkapkan diri seiring dengan perkembangan teknologi. Masalah kemahiran yang rendah, kekurangan peralatan dan kemudahan teknologi bukanlah halangan dalam menyampaikan ilmu seni secara berkesan kepada pelajar. Dalam erti kata yang lain, pendidik seni harus sentiasa bertindak lebih kreatif, inovatif dan inventif untuk memastikan kesinambungan dan daya saing disiplin ilmu seni dalam era globalisasi dapat dipertingkatkan secara efektif.
Perubahan positif
Kurikulum Pendidikan Seni yang sedia ada pada masa kini, telah menampakkan satu perubahan yang positif di mana elemen teknologi dan kecangihan penggunaan komputer mulai diserap di Malaysia. Usaha ini dapat dilihat menerusi pendidikan khusus kepada seni kreatif di Sekolah Seni Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan, serta pengenalan bidang Reka Bentuk Industri, Reka Bentuk Grafik, dan Multimedia dalam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual. Malah, Unit Pendidikan Seni Visual di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan turut bergiat aktif menganjurkan kursus komputer dalam kalangan guru-guru Pendidikan Seni Visual bagi melatih guru-guru menggunakan kecanggihan teknologi ini atas dasar globalisasi.
Kemampuan dan kesanggupan pendidik seni menggunakan perisian-perisian secara kompeten dalam membentuk seni baharu dalam era globalisasi ini perlu juga diberi perhatian. Antara bentuk–bentuk seni baharu termasuklah Seni Elektronik, Seni Laser dan Hologram, Seni Video yang berbentuk “Motion‟, Seni Realiti Maya, Seni Permainan Kreatif mahupun Seni Aplikasi Perisian.
Hakikatnya, di era globalisasi, kemajuan teknologi bergerak dengan sangat pantas. Justeru sebagai pendidik seni di era globalisasi ini, pengetahuan terkini tentang teknologi dan seni menjadi keperluan signifikan yang sangat mendesak dalam melahirkan pelajar seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika pendidik seni mampu bersaing, pastinya suatu hari nanti, Pendidikan Seni khususnya di Malaysia akan muncul sebagai satu bidang ilmu yang utama dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan visual dalam kehidupan seharian.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Norfadilah Kamaruddin merupakan Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM)