PENA WANITA

LONJAKAN DIGITAL DALAM PENDIDIKAN KETIKA PANDEMIK

26/02/2021 10:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Fariza Puteh-Behak

Kini lebih setahun gelombang pandemik COVID-19 melanda masyarakat dunia dan ia memberi kesan dalam kehidupan harian. Akibat wabak ini, rata-rata warga dunia terpaksa beralih kepada penggunaan elemen digital dalam memastikan kehidupan seharian terus relevan.

Kesan ini turut di rasai oleh institusi pendidikan tinggi di Malaysia apabila setiap pemegang taruh termasuk pihak pengurusan, ahli akademik, pelajar dan juga ibu bapa masih berjuang untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengunaan teknologi pada peringkat pendidikan tinggi bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita. Ia telah banyak dibincangkan sejak tahun 2013 lagi.

Namun, kehadiran virus COVID-19 seakan-akan mengasak masyarakat dunia termasuk Malaysia ke arah penggunaan teknologi digital secara lebih menyeluruh yang secara tidak langsung menyebabkan satu lonjakan digital di Malaysia.

Konsep digital dalam pendidikan tinggi

Konsep digital dalam pendidikan tinggi di Malaysia bukan lah satu konsep yang baharu. Ia telah lama dibincangkan dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Negara pada tahun 2013.

Konsep pembelajaran teradun dan penaiktarafan fasiliti digital di insitusi pendidikan telah digariskan dengan jelas. Pada tahun 2018 pula Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan garis panduan untuk pelaksanaan pendidikan berasaskan konsep revolusi industri keempat.

Secara dasarnya, kementerian menyatakan objektif pendidikan nasional untuk menghasilkan pelajar yang lebih mahir dalam pembelajaran kendiri yang menggunakan Web 2.0 sebagai sumber rujukan pembelajaran dan mampu menetapkan hala tuju proses pembelajaran mereka sendiri.

Kementerian juga menggariskan bahawa pendidikan pada era revolusi industri keempat menggalakkan pensyarah di institusi pengajian tinggi menjalankan peranan sebagai fasilitor pembelajaran dan bukan lagi menjadi sumber rujukan utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Walaupun telah lama dibincangkan, kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi digital masih lagi eksklusif dalam kalangan golongan tertentu seperti pakar bidang. Tidak dinafikan setiap institusi pengajian tinggi telah menjalankan usaha-usaha yang signifikan dalam mempertingkatkan fasiliti dan kualiti pembelajaran secara digital.

Tetapi, secara realitinya, rata-rata kelas di universiti masih lagi mengutamakan kelas bersemuka dan pensyarah masih lagi menjadi sumber utama dalam penyampaian ilmu.

Dalam kalangan pensyarah pula, tidak semua yang mahir dengan penggunaan teknologi. Sebahagian besar pensyarah masih lagi menggunakan pedekatan pembelajaran teradun.

Dengan kehadiran pandemik COVID-19 ini, ahli akademik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital secara total hatta seorang anak kecil pun, seakan-akan diasak ke arah penggunaan teknologi digital ini dalam proses menuntut ilmu.

Selaras dengan pengumuman dasar Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan semua sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, institusi pendidikan tinggi telah mengambil langkah untuk menawarkan semua kursus secara dalam talian.

Universiti Sains Islam Malaysia sebagai contoh, mengambil inisiatif memperkasakan platform pembelajaran dalaman dan juga melanggan beberapa platform yang menyokong fungsi persidangan dalam talian untuk segera memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Pada masa sama, satu konsortium dalam kalangan ahli akademik juga diwujudkan dan ilmu-ilmu berkenaan menjalankan pengajaran dan pembelajaran dikongsi melalui platform maya. Antaranya ilmu penyampaian pengajaran melalui pendekatan segerak dan tidak segerak, penggunaan aplikasi dalam talian yang mempunyai potensi untuk membantu proses pengajaran dan juga penilaian pencapaian pelajar.

Elemen gamifikasi juga boleh diterapkan secara maya dan semua ini dijalankan tanpa ahli akademik meninggalkan kediaman masing-masing. Ia sedikit sebanyak dapat membantu pensyarah mempertingkatkan kualiti pengalaman pembelajaran dalam talian dalam kalangan pelajar.

Ketandusan sentuhan manusia

Ketandusan sentuhan manusia pastinya mempunyai implikasi tertentu. Adalah wajar implikasi ini dilihat secara positif. Objektif negara untuk mewujudkan generasi pelajar yang mempunyai kemahiran pembelajaran kendiri dan menjadikan Web 2.0 sebagai sumber rujukan sudah mampu dicapai.

Ramai pelajar menyatakan bahawa mereka kini bebas menggunakan Web 2.0 untuk mencari maklumat tambahan semasa kelas berlangsung. Ini tidak boleh dilakukan sebelum ini kerana perbuatan merujuk telefon semasa pensyarah mengajar dianggap tidak sopan. Pada masa sama, pensyarah pula menggunakan teknik pendekatan segerak dan tidak segerak dalam pembelajaran dan menuntut pelajar lebih berdikari.

Pensyarah kini telah mengambil peranan sebagai fasilitator pembelajaran dan bukan lagi menjadi sumber rujukan utama dan ini pastinya mendokong visi pendidikan negara berasaskan revolusi industri keempat.

Pelajar pula berada dalam dilema daripada segi ketandusan sentuhan manusia dalam proses pembelajaran. Proses pembelajaran di lihat sebagai satu proses yang sunyi apabila mereka terpaksa lebih berdikari dalam usaha memahami ilmu yang disampaikan.

Hubungan pelajar dan pensyarah seolah-olah hilang di sebalik skrin komputer atau telefon pintar. Ada pelajar yang lebih senang bersembunyi di sebalik skrin komputer dengan mematikan fungsi video dan audio dan ini menyukarkan pensyarah untuk benar-benar memantau kemajuan dan pemahaman setiap pelajar.

Tambahan pula, pelajar juga merasa kehilangan sokongan daripada rakan sebaya dalam proses pembelajaran. Bagi pelajar yang masih pada awal umur dewasa, pengaruh rakan sebaya penting bagi mendorong mereka untuk lebih berusaha dalam menuntut ilmu. Ketiadaan elemen sentuhan manusia membuatkan pelajar tergapai-gapai sendiri semasa menongkah arus norma baharu dalam menuntut ilmu.

Bagi pihak pensyarah pula interaksi antara pensyarah dan pelajar membawa definisi baharu. Wajah-wajah pelajar di dalam kelas digantikan dengan skrin kosong yang tertera nama pelajar.

Soalan yang ditanya dalam sesi segerak seringkali disusuli suasana senyap seketika, untuk menunggu pelajar menghidupkan fungsi video dan juga audio sebelum menjawab soalan.

Sudah pasti elemen pertanyaan secara spontan di dalam kelas telah diganti dengan paparan skrin gambar profil pelajar. Untuk mengarahkan pelajar menghidupkan fungsi video dan audio juga agak sukar kerana sesi pembelajaran akan terganggu bagi pelajar yang mempunyai rangkaian internet yang lemah. Maka akhirnya para pensyarah perlu meneruskan sesi pengajaran tanpa benar-benar tahu apa yang berlaku di sebalik skrin komputer.

Oleh itu, pelbagai usaha perlu di lakukan secara bersama untuk membawa semua pihak berkepentingan mengharungi norma baharu ini yang sebenarnya telah pun menjadi satu realiti kehidupan semasa. Lebih banyak kajian perlu dilakukan oleh ahli akademik untuk memahami kesan lonjakan digital ini terhadap semua pihak.

Sudah pastinya interaksi antara pensyarah dan pelajar perlu diterokai untuk penambahbaikan proses pembelajaran dalam talian. Pihak berwajib pula perlu lebih banyak memperkenalkan inisiatif yang mampu menangani isu semasa berkenaan perkara ini.

Norma-norma baharu kini telah menjadi realiti semasa dan kita perlu terus bergerak ke hadapan dan memastikan proses menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi dapat terus mendokong aspirasi negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Fariza Puteh-Behak adalah Timbalan Dekan, Pusat Pengurusan Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)