TINTA MINDA

Golongan Buta‑Pekak: Ciptaan Tidak Sempurna?

11/08/2025 12:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr. Mohd Norazmi Nordin

Apabila kita melihat seseorang yang tidak dapat melihat dan mendengar, sering kali terlintas di benak kita soalan yang berat, “adakah ini satu kekurangan? Adakah ini ciptaan yang tidak sempurna?” Namun, persoalan ini perlu dijawab bukan dengan mata, tetapi dengan hati. Golongan buta‑pekak (deafblind) merupakan insan yang menghadapi cabaran berganda, tidak dapat melihat dunia dan tidak dapat mendengar bunyi di sekeliling.

Pada zahirnya, seolah-olah mereka terputus dari dunia luar. Tapi hakikatnya, mereka masih terhubung dengan cara yang berbeza. Islam mengajar kita bahawa setiap manusia adalah ciptaan Allah yang sempurna dalam bentuknya. Dalam Surah At-Tin ayat 4, Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik kejadian.” Maka, siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan Allah?

Kekurangan pada pandangan manusia bukan bermaksud kekurangan pada neraca Tuhan. Apa yang kita anggap sebagai tidak sempurna keadaan fizikal mungkin sebenarnya adalah kesempurnaan rohani dan kekuatan batin yang kita sendiri tidak miliki. Golongan buta‑pekak sering kali dilabel sebagai 'serba kekurangan'. Namun, label itu lahir daripada kejahilan kita sendiri yang gagal memahami cara mereka hidup, belajar, dan menyumbang.

Kita terlalu bergantung kepada deria mata dan telinga sehingga lupa ada hati dan jiwa yang lebih utama. Jika benar mereka tidak sempurna, bagaimana mungkin ada di antara mereka yang mampu membaca, menulis, berkomunikasi, dan malah mencapai kecemerlangan akademik serta kerjaya? Bukankah itu satu bentuk kesempurnaan yang lain?

Komunikasi Unik, Syukuri Nikmat Kelainan Upaya

Mereka belajar melalui sentuhan, bau, getaran dan rutin. Dunia mereka tidak bergantung pada bunyi dan warna, tetapi pada irama hati, rasa dan ketekunan. Dalam kekurangan deria, mereka membina dunia sendiri yang penuh makna. Di sebalik kesukaran memahami bahasa sekeliling, mereka mencipta komunikasi sendiri, iaitu melalui tactile signing, objek rujukan, bahasa tubuh dan emosi. Inilah bukti bahawa manusia itu makhluk adaptif yang luar biasa, walau dalam apa jua keadaan. Pendidikan untuk golongan ini menuntut pendekatan khas, guru yang memahami komunikasi sentuhan, bahan pengajaran taktil, serta persekitaran yang selamat dan terancang. Bila diberi peluang, mereka mampu berkembang seiring dengan kanak-kanak lain.

Namun, masyarakat kita masih kurang peka. Ramai yang menyangka golongan ini tidak mampu belajar atau memahami. Akibatnya, mereka terpinggir. Sedangkan apa yang mereka perlukan hanyalah kefahaman, bimbingan, dan peluang yang sama rata. Ironinya, dalam banyak keadaan, mereka yang dikatakan ‘tidak sempurna’ inilah yang lebih sabar, lebih tenang, dan lebih bersyukur.

Mereka tidak mengeluh, sebaliknya berusaha dengan penuh kesungguhan untuk menjalani hidup sebaik mungkin. Di sebalik ‘kekurangan’, Allah gantikan kelebihan yang luar biasa. Ramai antara mereka mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, ketajaman sentuhan yang mengagumkan, dan kepekaan emosi yang tinggi. Semua ini bukan kebetulan, tetapi ketetapan Ilahi.

Kisah seperti Helen Keller menjadi inspirasi global. Beliau adalah wanita buta‑pekak yang berjaya menamatkan pengajian universiti, menulis buku, dan menjadi aktivis. Jika dunia barat mengiktiraf kehebatan insan seperti ini, kenapa tidak kita? Dalam konteks ketuhanan, tiada ciptaan Allah yang cacat. Yang ada hanyalah ujian yang berbeza. Allah menguji seseorang bukan kerana Dia benci, tetapi kerana Dia mahu tunjukkan potensi sebenar yang tersembunyi dalam diri mereka. Golongan buta‑pekak juga mengajar kita erti kemanusiaan yang sebenar. Mereka membuatkan kita lebih menghargai nikmat yang sering kita lupa, dan dalam masa yang sama, mereka menjadi contoh bagaimana ujian boleh ditukar menjadi kekuatan.

Mereka juga menjadi asbab orang lain belajar erti empati, sabar dan kasih sayang. Kewujudan mereka mendidik masyarakat menjadi lebih penyayang dan bertanggungjawab. Bukankah itu juga satu bentuk kesempurnaan sosial yang jarang kita lihat? Maka, pertanyaan ‘ciptaan tidak sempurna?’ sebenarnya lahir daripada persepsi manusia yang lemah. Hakikatnya, mereka adalah insan sempurna yang dicipta untuk mendidik manusia lain, bukan melalui kata-kata, tapi melalui kehadiran dan perjuangan hidup mereka.

Dunia mungkin melihat mereka sebagai senyap dan gelap, tetapi dari sisi Tuhan, mereka mungkin sedang bercahaya dan bersuara dengan amalan dan kesabaran yang tinggi. Kita perlu ubah cara pandang kita. Daripada melihat apa yang mereka tidak ada, lihatlah apa yang mereka ada. Daripada menilai dengan deria mata, nilailah dengan mata hati. Kesimpulannya, golongan buta‑pekak bukan ciptaan yang tidak sempurna. Mereka adalah insan terpilih yang dicipta Allah dengan tujuan yang besar, iaitu untuk menjadi guru kesabaran, cermin kesyukuran, dan tanda jelas bahawa kesempurnaan itu tidak selalu terletak pada apa yang nampak.

-- BERNAMA

Dr. Mohd Norazmi Nordin ialah Ketua Program dan Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan,Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Setiausaha Asia Timur bagi Majlis Antarabangsa Pendidikan untuk Golongan Ketidakupayaan Penglihatan (ICEVI) dan juga seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)