TINTA MINDA

MEMBUDAYAKAN KESELAMATAN PEKERJA DI JALAN RAYA

03/03/2021 11:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Noor Kamaliah Alias dan Mohd Hafzi Md Isa

Isu kemalangan jalan raya saban hari menjadi perhatian dan sorotan di dada-dada akhbar dan media sosial. Kebelakangan ini, kemalangan jalan raya melibatkan urusan pergi dan balik kerja serta semasa bekerja adalah semakin membimbangkan.

Trend dan statistik menunjukkan kemalangan pekerja semasa perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja terus meningkat sehingga 45 peratus pada 2019 berbanding pada 2012.

Ini mengakibatkan kadar morbiditi dan mortaliti yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja dan seterusnya menyebabkan kenaikan kos pampasan.

Pekerja Aset Syarikat

Pekerja merupakan aset kepada syarikat dan majikan perlu memainkan peranan penting bagi menjamin keselamatan pekerja semasa perjalanan. Komitmen yang tinggi daripada majikan diperlukan bagi mewujudkan sistem pengurusan keselamatan perjalanan yang baik.

Antara elemen penting dalam sistem pengurusan tersebut adalah pengwujudan dan pelaksanaan polisi syarikat yang meliputi objektif dan sasaran yang jelas dan praktikal. Selain itu, perancangan dan pelaksanaan program dan inisiatif kepada semua pekerja perlu dilaksanakan secara berterusan.

Penguatkuasaan terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya semasa berada seperti pematuhan had laju, penggunaan tali pinggang keledar dan pemakaian peralatan perlindungan diri seperti topi keledar dan pakaian pemantul cahaya perlu dititikberatkan.

Pemantauan berterusan juga hendaklah dijalankan bagi memastikan pekerja sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga keselamatan diri dan orang di sekelilingnya. Sistem sokongan yang baik juga diperlukan daripada segi peruntukan dan infrastruktur yang mencukupi serta tenaga kerja yang kompeten bagi memastikan sistem pengurusan perjalanan berjaya dilaksanakan secara menyeluruh.

Namun, tanpa komitmen yang tinggi daripada pekerja, usaha yang dilakukan oleh pihak majikan akan menjadi sia-sia. Adalah menjadi tanggungjawab pekerja untuk memastikan diri sendiri dan orang di sekeliling sentiasa selamat di atas jalan raya. Pekerja perlu memandang serius dan mematuhi segala polisi dan arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak majikan. Segala kemudahan yang diberikan hendaklah digunakan secara optimum dan sebaik mungkin.

Pekerja yang dipertanggungjawabkan menjaga kenderaan syarikat hendaklah bersikap amanah dan menghargai kemudahan yang diberikan. Selain itu, peralatan perlindungan diri yang dibekalkan perlu diguna pakai dengan sebaiknya bagi memastikan pelaburan yang dikeluarkan oleh majikan adalah berbaloi.

Sistem Pengurusan Perjalanan

Interaksi dan kerjasama antara pekerja dan majikan juga perlu bagi memastikan keberkesanan dan penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan dalam sistem pengurusan perjalanan.

Program-program sedia ada yang melibatkan kolaborasi strategik antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seperti Commuting Safety Support Program (CSSP) yang berteraskan standard ISO 39002: 2020 (Amalan Terbaik bagi Pelaksanaan Sistem Pengurusan Perjalanan) dan Managing Work-Related Road Safety Program (MWRRSP) yang berteraskan standard MS ISO 39001: 2013 (Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya) boleh dijadikan sumber rujukan bagi menambah baik sistem pengurusan keselamatan pekerja semasa perjalanan.

Pekerja dan majikan adalah karakter utama bagi memastikan budaya keselamatan jalan raya khususnya perjalanan dapat diterapkan bukan sahaja di tempat kerja malah dalam kehidupan seharian. Justeru, adalah diharapkan dengan membudayakan pengurusan keselamatan perjalanan yang baik, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia khususnya yang melibatkan pekerja semasa perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja, dapat dibendung daripada terus meningkat.

-- BERNAMA

Noor Kamaliah Alias, Mohd Hafzi Md Isa (Ir. Ts.) merupakan Pegawai Penyelidik, Kluster Work-Related Road Safety Management (WRRSM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)