Allah SWT menciptakan manusia dalam kalangan lelaki dan wanita dengan kepelbagaian bangsa dan budaya dengan tujuan saling melengkapkan di antara satu sama lain. Menurut pandangan Islam, semua manusia sama ada lelaki atau wanita tidak dibezakan dari segi darjat dan kedudukan melainkan nilai ketaqwaannya di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Status wanita
Semenjak awal kedatangan Islam melalui pengutusan baginda Nabi Muhammad SAW, kedudukan dan darjat wanita diletakkan pada status yang mulia berbanding ketika zaman jahiliyah. Ajaran Islam telah memperbetulkan pandangan dan layanan masyarakat terhadap golongan wanita. Pada zaman jahiliyah wanita dipandang rendah serta menjadi hamba nafsu semata-mata. Pandangan masyarakat terhadap wanita ketika zaman tersebut amat rendah bahkan mereka tidak dibenarkan menjalani kehidupan. Justeru sesiapa sahaja yang melahirkan anak perempuan ketika itu akan membunuh anaknya hidup-hidup.
Perkara ini digambarkan di dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah Al-Nahl : 58-59)
Di dalam ayat yang lain juga diceritakan perkara yang sama tentang bagaimana masyarakat sebelum kedatangan Islam memperlakukan wanita. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, - Dengan dosa apakah ia dibunuh?” (Al-Takwir : 8-9).
Islam memberi hak, mengangkat darjat wanita
Semasa zaman jahiliyah wanita juga tidak diberikan hak pewarisan. Namun apabila syariat Islam datang, ia bukan sahaja memberikan hak pewarisan kepada wanita tetapi juga memberikan hak-hak yang lain kepada wanita dalam isu perkahwinan, perceraian, pemilikan harta, pendidikan, dan sebagainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)” (Al-Nisa’ : 7)
Kedatangan Islam mengangkat darjat wanita dan memuliakannya dengan pelbagai keistimewaan. Justeru terdapat banyak hadis yang memberi peringatan agar mengawasi tindak tanduk supaya tidak menzalimi golongan wanita khususnya yang bergelar isteri. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan perhubungan kamu dengan mereka telah dihalalkan dengan perkataan-perkataan Allah” (Hadis Riwayat Muslim).
Masyarakat juga diingatkan tentang tanggungjawab untuk melindungi dan memelihara hak golongan wanita seperti firman Allah SWT yang bermaksud “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (al-Nisa', 4:34).
Tanggungjawab wanita dan tuntutan syariat
Namun wanita juga harus memelihara maruah dan kehormatan diri dan melaksanakan tanggungjawab selaras dengan tuntutan syariat agar sesuai dengan darjat yang telah dimuliakan kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (al-Isra’ 17 : 70).
Beberapa keistimewaan terhadap wanita yang diberikan oleh Islam termasuklah hak untuk melaksanakan ibadah dan meraih ganjaran pahala dan syurga seperti firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia” (Al-Hadid 57 : 18). Firman Allah dalam ayat yang lain bermaksud “Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik. Sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan” (Al-Nahl (16): 97).
Wanita solehah adalah wanita yang bertaqwa kepada Allah, yang mengerjakan amal baik dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh itu Allah SAW akan memberikan ganjaran dengan jaminan memasuki syurga dari pintu mana pun yang diinginkannya sepertimana hadis oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Riwayat Ibnu Hibban).
Kedudukan wanita sebagai ibu juga amat dimuliakan. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab: Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. (Riwayat Muslim (2548).
Golongan wanita dipelihara kehormatannya melalui syariat menutup aurat. Ajaran Islam menetapkan agar wanita memelihara auratnya supaya terhindar dari pelbagai bentuk fitnah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kini golongan wanita telah diberikan ruang untuk turut serta menyumbang kepada masyarakat melalui penglibatan dalam pelbagai bidang seperti politik ,sosial, dan ekonomi selain tugas menguruskan keluarga dan rumah tangga. Semua penglibatan dan sumbangan tersebut diraikan oleh Islam selagi mana pekerjaan yang dilakukan mengikut syarak, menjaga adab wanita muslimah, serta tidak mengabaikan tugas yang lain kepada suami, anak-anak dan keluarga.
Justeru marilah bersama-sama kita menginsafi segala bentuk pembelaan yang telah diberikan dan dijamin oleh Islam dalam mengangkat darjat wanita serta memelihara mereka dari sebarang penganiayaan dan diskriminasi selaras dengan panduan syariat Islam.
-- BERNAMA
Datuk Mohd Ajib Ismail merupakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan