TINTA MINDA

TITIK BERAT PENGALIHUDARAAN DALAMAN SEMASA DI RUMAH SEPANJANG PKP

09/07/2021 09:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ts Dr Ismaniza Ismail dan Prof Madya Ts Dr Mohd Fahmi Hussin @ Mohamad

Sebelum dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19, isu kualiti udara dalaman tidaklah mendapat perhatian seperti mana hari ini. Secara amnya, hampir 90 peratus masa kita seharian dihabiskan dengan berada di dalam ruang seperti rumah, pejabat, sekolah dan sebagainya. Tetapi kita cenderung berasa bimbang akan pencemaran yang terdapat di luar bangunan seperti jerebu dan risiko penularan virus.

Pengalihudaraan yang baik

Apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus SARS-CoV2 sebagai virus bawaan udara, ramai menjadi cemas dan mula mengambil tahu beza potensi transmisi di dalam titisan cecair dan aerosol. Mungkin tidaklah sekritikal di tempat kerja yang mempunyai sistem penyaman udara berpusat, namun pengalihudaraan yang baik juga perlu dititikberatkan apabila berada di rumah. Apatah lagi sekarang majoriti kita terperuk lebih lama di dalam rumah dalam senario Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelanjutan Penutupan Penuh sektor sosial dan ekonomi yang baharu sahaja diumumkan dalam usaha mengekang penyebaran COVID-19.

Bekerja dari Rumah (BDR) bagi orang dewasa dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi anak-anak bukan sahaja menuntut amalan ergonomik dari segi postur badan yang selesa, tetapi juga pengalihudaraan yang baik untuk mengurangkan risiko penyakit berjangkit yang lain. Sebagai contoh, pendedahan kepada habuk domestik yang dibawa masuk dari luar oleh angin, atau pencemar bahan kimia daripada penyegar udara di dalam rumah yang mungkin mengandungi formaldehid. Ini bukan sahaja mengganggu gugat imuniti yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang berkait dengan sistem pernafasan, malah juga memburukkan lagi penyakit sedia ada serta menjadikan pesakit lebih rentan terhadap penyakit COVID-19.

Oleh yang demikian, langkah pencegahan perlu dipertimbangkan untuk meminimumkan penularan penyakit, walaupun semasa di rumah. Kita mungkin tidak akan sampai ke tahap membuat pengiraan kadar tukaran udara dengan isipadu ruang rumah dan kadar aliran isipadu udara per minit, tetapi memadailah dengan memahami konsep asas untuk pengalihudaraan yang baik.

Bagi pengalihudaraan secara semula jadi, kesan membuka pintu dan tingkap agak terbatas, terutamanya apabila terdapat hanya sedikit angin dan suhu di dalam dan di luar rumah tidak banyak perbezaan. Sekiranya praktikal, bukalah lebih daripada satu tingkap atau pintu, namun perhatian perlu diberi kepada risiko yang mungkin membahayakan keselamatan atau kesihatan ahli keluarga, seperti gejala asma atau terjatuh melalui tingkap.

Sebaik-baiknya pengalihudaraan secara silang dilakukan, dengan cara membuka tingkap (atau pintu) di ruang bertentangan di dalam rumah. Semasa proses ini, pintu dalaman juga perlu berada dalam keadaan terbuka agar tidak menghalang udara. Pada masa yang sama, penggunaan kipas berhampiran tingkap juga boleh membantu untuk meniup udara ke dalam bilik jika ditempatkan jauh dari tingkap, atau untuk meniup udara keluar dari tingkap jika diletakkan menghadap tingkap. Kaedah ini dapat membantu memaksimumkan pengalihudaraan dan memaksa keluar bahan pencemar dari dalam rumah.

Pendingin udara

Dalam cuaca panas dan berbahang di Malaysia tidak kira siang atau malam, penggunaan pendingin udara sudah tidak asing lagi. Teknologi pendingin udara masa kini turut hadir dengan penapis partikel bersaiz nano untuk menyaring udara, sekaligus mengurangkan kepekatan pencemar udara termasuklah virus dan bakteria di dalam rumah. Pendingin udara yang mempunyai ciri penukar haba yang cekap tenaga atau ventilator pemulihan haba juga berkesan untuk meningkatkan pengalihudaraan.

Bagi sesetengah rumah yang menggunakan pembersih udara mudah alih (portable air cleaner) pula, penempatannya adalah kritikal untuk memastikan penularan virus yang efisien. Pembersih udara sebegini perlu diletakkan di ruangan yang diduduki oleh kebanyakan ahli keluarga pada sebahagian besar masa. Sekiranya dari pagi sehingga tengah hari, ibu bapa berada di ruang belajar untuk membantu anak-anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sambil bermesyuarat secara virtual (bekerja dari rumah), eloklah pembersih udara mudah alih tersebut ditempatkan di ruang tersebut. Pada waktu petang pula, ia boleh dipindahkan ke ruang rehat semasa ahli keluarga meluangkan masa untuk menonton televisyen bersama-sama.

Sama ada secara unit tetap atau unit mudah alih yang lebih murah, pendingin bersejat (evaporative cooler) juga dapat meningkat pengalihudaraan di dalam rumah. Ia berfungsi dengan menggunakan air untuk penyejukan udara dan meningkatkan kelembapan relatif ruang. Mekanisme pendingin jenis ini meningkatkan pengudaraan dalaman dengan menggunakan udara luar, maka kurang sesuai sekiranya pencemaran udara di luar tinggi dan sistem tidak mempunyai penapis berkecekapan tinggi.

Kesimpulannya, walaupun berada di rumah sendiri dalam tempoh PKP, jangan mudah berasa terlalu selamat sehingga terlepas pandang faktor-faktor yang mampu menggugat tahap kesihatan kita.

-- BERNAMA

Ts Dr Ismaniza Ismail merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA dan Ts Dr Mohd Fahmi Hussin @ Mohamad ialah Profesor Madya di Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)