Kita...
Jangan mudah terlupa
Pengorbanan perjuangan anak bangsa
Bait-bait indah di atas merupakan sebahagian daripada lirik lagu Wawasan Setia Warga UiTM yang merupakan lagu rasmi Universiti Teknologi MARA. Lirik tersebut mengingatkan kita semua agar tidak melupakan pengorbanan dan perjuangan anak bangsa sejak dahulu lagi hingga negara kita dapat membangun pada masa kini. Jerih perih pejuang-pejuang kemerdekaan negara misalnya wajar dikenang seterusnya dihargai.
Satu daripada cara untuk mengenang dan menghormati pejuang-pejuang kemerdekaan ini ialah dengan mengangkat kisah perjuangan tokoh atau peristiwa-peristiwa besar penentangan yang berlaku untuk menghalau penjajah dari negara tercinta ini. Yang terbaru menerusi filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang menjadi fenomena.
Kenapa filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ mencipta fenomena? Ia merupakan filem biografik epik sejarah pertama yang mencapai kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan. Kecemerlangan ini diteruskan apabila jumlah kutipan mencapai RM12.2 juta pada hari keempat tayangan. Sehingga hari ke 11 tayangan, kutipan telah mencapai RM47 juta dan dijangka jumlah kutipan yang sungguh menakjubkan ini akan terus meningkat. Justeru, tidak hairanlah para penggiat industri filem tempatan menyebut filem ini sebagai fenomena.
Pemangkin semangat cintakan negara mahasiswa
Ucapan penghargaan dan terima kasih wajar diberikan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menghasilkan naskhah filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini. Walaupun terdapat kekurangan dan tidak sempurna dalam beberapa aspek, kredit paling besar yang wajar diberikan kepada filem ini ialah filem ini telah berjaya menarik ramai generasi muda ke pawagam untuk menonton filem Melayu. Dalam kalangan mereka itu sudah pastilah ada golongan mahasiswa.
Golongan mahasiswa umumnya dikaitkan dengan menelaah buku pelajaran, melaksanakan tugasan berkaitan subjek kursus yang diambil, sehinggalah kepada proses menyelesaikan tugasan Projek Tahun Akhir. Justeru, dengan menonton filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’, ia merupakan kaedah yang kreatif secara visual untuk mahasiswa mendapat isi manfaat daripada filem tersebut. Meskipun ada yang berpendapat filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ hanya filem hiburan yang menginspirasikan perjuangan pahlawan Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang dan bukan filem dokumentari sejarah. Namun, kesan selepas menonton filem Mat Kilau begitu besar. Mahasiswa mula mencari buku-buku berkaitan sejarah perjuangan Mat Kilau dan membacanya serta mengikuti penulisan-penulisan di media-media sosial Jabatan Arkib Negara, tokoh-tokoh akademik mahupun para pengkaji sejarah. Ini merupakan perkembangan yang sangat baik.
Mat Kilau merupakan tokoh nasional negara kita. Seluruh rakyat Malaysia sedia maklum tentang perkara ini. Begitu juga dengan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara kita yang lain seperti Rentap, Dol Said, Datuk Maharajalela dan ramai lagi. Selepas menonton filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’, sudah pasti tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain ini akan mula dicari bukunya, dibaca kisahnya dan diambil manfaat akan teladan daripada perjuangan tersebut. Seterusnya, mahasiswa akan seronok membuat penyelidikan, penulisan, infografik, aplikasi pintar, permainan interaktif serta karya-karya ilmiah berdasarkan tokoh pejuang dan kisah perjuangan mereka, sekaligus membangkitkan nilai patriotisme dalam jiwa mereka.
Peranan kelab dan persatuan mahasiswa
Kelab dan persatuan mahasiswa juga dilihat mempunyai peranan besar dalam mendorong kebangkitan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa. Antara kesan langsung daripada filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini ialah orang ramai tidak kira kanak-kanak, remaja, belia mahupun golongan dewasa kembali berminat untuk belajar silat dan menyertai kelas-kelas silat yang dianjurkan. Senario ini turut berlaku dalam kalangan mahasiswa. Justeru, kelab dan persatuan mahasiswa berteraskan seni mempertahankan diri seperti aliran-aliran silat perlu memanfaatkan kelebihan ini bagi menarik seramai mungkin ahli baru kelab dan persatuan. Selain mahasiswa dapat belajar seni mempertahankan diri, ia juga dapat memupuk jati diri dan menghargai kecemerlangan Melayu silam dalam seni mempertahankan diri.
Selain itu, kelab dan persatuan berteraskan kesukarelawanan boleh menganjurkan aktiviti sukarelawan seperti menceriakan Galeri Mat Kilau dan khidmat komuniti memasang papan tanda sejarah atau papan tanda informasi rumah peninggalan Mat Kilau dengan kerjasama persatuan sejarah serta waris Mat Kilau. Selain Mat Kilau, aktiviti kesukalewanan ini boleh diperluaskan kepada peninggalan tokoh-tokoh pejuang lain dengan kerjasama persatuan-persatuan sejarah setiap negeri. Barulah tinggalan, kompleks makam serta bangunan bersejarah ini terjaga dan dalam masa yang sama menarik kunjungan dari segenap lapisan masyarakat. Kerjasama erat di antara mahasiswa dan komuniti ini selari dengan harapan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).
Peranan penasihat persatuan
Bagi penasihat persatuan, mereka boleh bekerjasama sesama mereka dalam menganjurkan tayangan perdana filem Mat Kilau di institusi pendidikan masing-masing. Ini sekaligus dapat menarik kunjungan warga institusi pendidikan untuk menonton beramai-ramai melangkaui ahli kelab dan persatuan kerana ia turut melibatkan mahasiswa lain serta staf akademik dan pentadbiran. Ini dilihat dapat melonjakkan semangat patriotisme ke dalam jiwa semua warga institusi pendidikan.
Selain itu, penasihat persatuan boleh menjalinkan kerjasama bersama pihak agensi-agensi seperti Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Majlis Perbandaran serta Majlis Daerah. Melalui kerjasama ini, pihak agensi boleh menjalankan program-program patriotisme di institusi pendidikan dan seterusnya pihak kelab dan persatuan mahasiswa boleh berkongsi ilmu dan pengetahuan bersama komuniti setempat apabila pihak agensi menganjurkan program dan aktiviti. Ini membawa manfaat patriotisme yang lebih besar dan meluas dengan penglibatan komuniti setempat.
Sebagai kesimpulan, semua pihak harus memainkan peranan serta memberi kerjasama yang jitu dan padu dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa secara berterusan dan tidak bermusim dengan menjadikan filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ sebagai titik perubahan serta permulaan yang sangat baik.
--BERNAMA
Mohammad Sufian Abdul Manan merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA