TINTA MINDA

KEPERLUAN BERALIH KEPADA TENAGA NUKLEAR  

21/09/2022 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Banyak pihak berasa terlalu sensitif apabila dimajukan cadangan untuk membangunkan loji tenaga nuklear. Alasan utama adalah, loji tenaga nuklear akan mengumpul sisa bersifat radioaktif yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, malah dunia juga masih belum mempunyai teknologi terkini melupuskan sisa bahan nuklear.

Sejarah hitam kemusnahan bandar Hiroshima di Jepun, tragedi Bhopal di India dan Chernobyl di Rusia yang tidak pernah luput daripada pemikiran masyarakat menjadi punca kebimbangan dan penolakan umum terhadap prospek tenaga nuklear.

Memahami potensi tenaga nuklear

Tenaga nuklear atau industri tenaga nuklear adalah satu daripada teknologi yang membolehkan penjanaan tenaga elektrik. Ia dihasilkan daripada tindak balas nuklear yang terkawal. Tenaga elektrik dihasilkan daripada loji komersial yang menggunakan tindak balas pembelahan nuklear. Reaktor utiliti elektrik memanaskan air untuk menghasilkan wap yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Ketika ini 80 peratus tenaga elektrik dalam negara dijana menggunakan gas asli dan arang batu diikuti oleh minyak dan hidro. Justeru adakah terdapat keperluan bagi Malaysia untuk beralih kepada penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik?

Ia bergantung kepada beberapa faktor utama iaitu harga bahan api seperti minyak dan arang batu yang tidak menentu dan isu pelepasan gas rumah hijau global yang dikaitkan dengan fenomena pemanasan global dan perubahan iklim.

Negara memerlukan sumber tenaga alternatif kerana simpanan minyak dan gas sedia ada tidak dapat bertahan selamanya, mungkin kurang dari tempoh 30 tahun sahaja sedangkan kita juga banyak menggunakan gas dan minyak untuk sektor pengangkutan.

Justeru, kita perlu mencari sumber tenaga alternatif baru. Walaupun terdapat beberapa sumber tenaga alternatif seperti biodiesel, biogas, tenaga solar, tenaga angin, bioalkohol, arang batu dan hidro, tetapi tenaga nuklear dilihat sebagai alternatif terbaik bagi negara kerana ia lebih murah dan dikategorikan sebagai antara tenaga hijau iaitu mesra alam.

Sejak pengkomersialannya pada 1970-an, tenaga nuklear menghalang 1.84 juta kematian melibatkan pencemaran udara dan pembebasan 64 bilion tan nilai karbon dioksida setara yang dihasilkan oleh bahan api fosil.

Tenaga nuklear juga merupakan satu-satunya sumber tenaga penjana elektrik yang boleh menghasilkan kuasa yang besar dengan jumlah bahan api yang kecil kerana proses pembelahan berantai dalam reaktor berlaku secara berterusan dalam jangka masa yang lama dan membebaskan jumlah tenaga yang besar.

Malah, sekiranya kita menggunakan tenaga nuklear pada masa depan, kita boleh juga menghasilkan tenaga hidrogen untuk kegunaan sektor pengangkutan dan tenaga ini dijangka menguasai pasaran menjelang tahun 2040.

Persepsi dan kefahaman masyarakat

Faktor lain yang tidak kurang penting adalah penerimaan masyarakat terhadap tenaga nuklear. Perkara ini sangat penting kerana kita memerlukan penerimaan 100 peratus daripada masyarakat berhubung perkara ini. Lantaran itu, sebelum kerajaan beralih kepada penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif tenaga elektrik sedia ada, rakyat Malaysia perlu diberi maklumat yang jelas mengenai kebaikan tenaga nuklear agar sentimen negatif rakyat terhadap penggunaan nuklear dapat dikikis.

Lihat sahaja negara Jepun, walaupun masyarakatnya terkesan dengan sejarah hitam nuklear, pada masa kini Jepun merupakan antara negara terbesar menggunakan tenaga nuklear sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik.

Terkini, negara tersebut mempercepatkan permulaan semula reaktor nuklear yang dihentikan susulan kemalangan nuklear Fukushima bagi mengatasi kekurangan minyak dan gas akibat sekatan yang dikenakan ke atas Russia.

Jepun bergantung kepada Russia untuk lima peratus bekalan minyaknya, manakala hampir lapan peratus untuk gas asli cecair (LNG). Jepun kini mempunyai enam reaktor nuklear yang beroperasi dengan jumlah kapasiti 6,190 MW berbanding 54 sebelum tragedi Fukushima.

Kelebihan tenaga nuklear

Secara umumnya, modal permulaan untuk membangunkan loji tenaga hidro dengan loji tenaga nuklear adalah sama, tetapi dalam jangka masa panjang kos operasi loji tenaga nuklear adalah lebih murah kerana ia boleh menjimatkan kos operasi sebanyak 25 peratus, selain kos penyenggaraannya yang minimum.

Sebelum ini, jangka hayat penggunaan bagi sesebuah loji tenaga nuklear hanya boleh bertahan selama 40 tahun, tetapi melalui teknologi terkini, tempoh jangka hayat penggunaan loji tenaga nuklear boleh dipanjangkan antara 70 hingga 80 tahun. Begitu juga dengan tempoh pembinaan loji nuklear, kalau dahulu tempoh pembinaannya mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun, tetapi kini ia boleh disiapkan dalam tempoh lima tahun sahaja.

Paling utama, sebuah loji jana kuasa nuklear yang berkeupayaan menghasilkan 1,000 Megawatt elektrik untuk beroperasi dalam masa setahun hanya memerlukan 30 tan metrik uranium sebagai bahan mentah. Sebagai bandingan, bagi kapasiti yang sama untuk loji arang batu pula, sebanyak dua juta tan metrik arang batu diperlukan, sebuah stesen jana kuasa arang batu (fosil) yang berkuasa 1,000 MW juga akan melepaskan 100 kali ganda bahan radioaktif kepada alam sekitar berbanding sebuah reaktor nuklear.

Sementara itu, bagi loji yang menggunakan minyak pula memerlukan 1.96 bilion gelen minyak. Bagi kapasiti yang sama juga dalam tempoh setahun untuk loji tenaga suria, sebanyak 100 kilometer persegi panel photovoltaic diperlukan, manakala loji tenaga angin pula memerlukan 3,000 turbin angin. Malah, loji tenaga biomas berasaskan kayu memerlukan 30,000 kilometer kawasan tanaman pokok bagi menghasilkan biomass, manakala loji tenaga biogas berasaskan najis ayam pula memerlukan 800 juta ekor ayam bagi menghasilkan biogas.

Tambahan pula, belum ada kes kemalangan reaktor tenaga nuklear yang memberi kesan besar kepada tamadun manusia kecuali ia berlaku akibat daripada kecuaian manusia sendiri. Maka, China sebagai antara pengguna terbesar nuklear, berpegang teguh penggunaan tenaga nuklear tidak sepatutnya mengorbankan alam sekitar dan kesihatan manusia.

Negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun telah menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik yang ketara. Pada 2015 sahaja, 10.7 peratus daripada kuasa elektrik di dunia datangnya daripada kuasa nuklear. Selain itu, lebih daripada 150 buah kapal berkuasa nuklear juga telah dibina dan beberapa buah roket radioisotop telah dikeluarkan.

Melihat perkembangan semasa, hakikatnya Malaysia sudah bersedia menggunakan tenaga nuklear menggantikan sumber sedia ada. Apatah lagi Nuklear Malaysia bersedia menjadi agensi sokongan teknikal jika negara berhasrat menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan elektrik untuk negara.

Namun, keputusan untuk membina stesen janakuasa nuklear tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru kerana di sebalik kelebihan dan potensi besar sumber tenaga ini, beberapa faktor dan isu utama perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuklah risiko kawalan dan keselamatan, ketersediaan pakar dan sumber tenaga manusia.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)