TINTA MINDA

MINYAK SAWIT, SELAMANYA

17/10/2022 10:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

Industri minyak sawit Malaysia akan kekal berdaya tahan pada masa hadapan. Usaha Kerajaan untuk menggalakkan pembangunan sektor hiliran dan meningkatkan tahap kemampanan dalam industri minyak sawit menjanjikan masa depan yang cerah untuk sektor komoditi utama negara. Untuk rekod, pelaksanaan program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi lebih kurang 96 peratus kawasan ladang kelapa sawit.

Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini mencadangkan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk meningkatkan tahap kemampanan dalam industri sawit termasuk menggalakkan kitar semula bahan buangan sawit. Kerajaan juga akan mempergiatkan usahanya untuk mempromosi dan menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global.

Inisiatif Kerajaan akan mengukuhkan lagi industri minyak sawit yang telah membuktikan daya tahannya dengan prestasi ketara walaupun dalam keadaan ekonomi yang dilanda pandemik.

Rekodkan KDNK tinggi ketika pandemik COVID-19

Malah, industri minyak sawit terus menjadi satu daripada penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) semasa pandemik COVID-19, ia telah mencatatkan eksport yang memecahkan rekod.

Malaysia mencatat RM73.25 bilion bagi hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain pada 2020, peningkatan sebanyak 8.4 peratus daripada RM67.55 bilion pada 2019. Hasil eksport mengukuh lagi kepada RM108.52 bilion pada 2021, naik 48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Hasil eksport yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh kenaikan harga produk minyak sawit di pasaran global. Pada 2020, harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan lebih tinggi sebanyak 29.2 peratus kepada RM2,685.50 satu tan berbanding RM2,079.00 satu tan pada 2019 berikutan pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di pasaran global dan stok domestik minyak sawit yang lebih rendah. Harga MSM terus melonjak pada 2021 dengan purata harga meningkat sebanyak 64.1 peratus kepada RM4,407.00 satu tan, tertinggi dalam sejarah industri minyak sawit, daripada RM2,685.50 satu tan pada 2020.

Harga MSM yang lebih tinggi pada tahun 2021 disebabkan oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di pasaran global, pengurangan bekalan, kekurangan buruh di ladang kelapa sawit, stok minyak sawit domestik yang lebih rendah iaitu di bawah 2.0 juta tan metrik, harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh dalam pasaran global dan eksport minyak sawit yang lebih tinggi ke negara pengimport utama, terutamanya ke India.

Minyak sawit adalah minyak sayuran pelbagai guna yang digunakan sebagai bahan mentah untuk industri makanan dan bukan makanan. Kebanyakan minyak sawit digunakan untuk aplikasi makanan seperti memasak, marjerin, sapuan, lemak konfeksionari, ais krim, pengemulsi, dan vanaspati.

Populasi dunia dijangka mencecah 9.8 bilion menjelang 2050 dengan pertumbuhan yang ketara di negara-negara kurang maju. Sementara itu, jumlah tanah pertanian bagi setiap orang semakin berkurangan dengan unjuran penurunan sebanyak 0.38 hektar pada tahun 1970 kepada 0.15 hektar setiap orang menjelang 2050.

Penggunaan minyak sayuran dunia telah meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam dua dekad yang lalu, daripada 87 juta tan pada 2000/2001 kepada 237.5 juta tan pada 2020. Peningkatan dalam penggunaan minyak sayuran timbul persoalan: Bagaimana kita boleh menghasilkan minyak sayuran yang mampan untuk memberi makan kepada populasi yang semakin meningkat sambil menjaga persekitaran semula jadi?

Minyak sawit dahului senarai tanaman untuk hasil minyak

Minyak sawit mendahului senarai tanaman untuk hasil minyak. Ia memerlukan kurang daripada satu perlapan daripada jumlah tanah seperti soya untuk menghasilkan kuantiti minyak yang sama. Hari ini, minyak sawit menyumbang enam peratus daripada semua tanah yang ditanam untuk minyak sayuran di seluruh dunia tetapi menghasilkan lebih satu pertiga daripada jumlah keluaran.

Bagaimanapun, masa depan minyak sawit negara bergantung kepada teknologi terkini dan kepelbagaian produk. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, aktiviti penuaian di ladang sawit tidak dapat dijalankan dengan berkesan kerana kekurangan buruh dan ini telah menyebabkan kejatuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan pendapatan pengusaha ladang dan pekebun kecil.

Kadar upah buruh untuk aktiviti membaja dan menuai juga telah meningkat dalam tempoh tersebut. Harga input pertanian terutamanya baja juga meningkat semasa pandemik. Kenaikan kos input seperti baja telah menjejaskan pendapatan pengusaha ladang dan pekebun kecil walaupun harga BTS berada pada aliran menaik.

Sehubungan itu, penggiat industri kini meneroka penggunaan Kepintaran Buatan (AI), teknologi yang dipertingkat dan peningkatan mekanisasi untuk semua aspek penuaian sawit di ladang.

MARCOP: kerjasama kerajaan & industri kurangkan kebergantungan buruh

Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dilancarkan pada November 2021 sebagai usaha kerjasama antara kerajaan dan industri bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada keperluan buruh untuk penuaian kelapa sawit.

MARCOP meneroka, menyaring, mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian, secara jelas memfokuskan pada penuaian BTS. Usaha tersebut bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada keperluan buruh untuk penuaian buah sawit.

Selain MARCOP, beberapa inisiatif lain sedang dijalankan untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi bagi kelapa sawit secara lebih meluas oleh industri di ladang sawit. Ini termasuk penganjuran seminar dwi tahunan mengenai mekanisasi, mewujudkan program sokongan seperti Program Sokongan Pembelian Alat Pemotong Bermotor (SKIDIC), dan beberapa program berkaitan.

Geran sokongan juga telah diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan pembangun teknologi dan agensi penyelidikan lain yang berkaitan dalam aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D) dan pra-pengkomersialan. Dana Penjenteraan Kelapa Sawit menyediakan sokongan kewangan untuk pihak yang layak dengan terma dan syarat tertentu.

Penerimaan teknologi baharu boleh menyediakan asas yang kukuh untuk pertanian ketepatan untuk meningkatkan produktiviti. Syarikat yang telah mengaut keuntungan daripada harga MSM yang tinggi perlu menyalurkan dana untuk meningkatkan mekanisasi terutamanya dalam pengurusan ladang seperti pemangkasan, kawalan serangga perosak dan penyakit serta penggunaan baja. Maka, tenaga kerja sedia ada boleh digunakan untuk menuai.

Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang terlatih dengan Internet Pelbagai Benda (IoT) akan meningkatkan produktiviti. Penggiat industri harus beralih ke sektor pertengahan dan hiliran untuk lebih berdaya tahan terhadap turun naik harga minyak sawit mentah.

Aspirasi kami sebagai hab makanan serantau dengan produktiviti yang lebih tinggi dan kepelbagaian terhadap sektor hiliran mesti direalisasikan. Kami juga meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan mempromosikan pengeluaran biojisim berasaskan sawit.

Kami juga beralih daripada berasaskan petrokimia kepada biokimia melalui penambahan nilai produk minyak sawit. Pengembangan dan kepelbagaian industri minyak sawit serta meneroka aplikasi khusus pasaran produk sawit akan meningkatkan bahagian pasaran negara dalam pasaran global produk minyak sawit.

Promosi produk sawit tambah nilai dan meningkatkan penggunaan fitonutrien berasaskan sawit akan membuka segmen pasaran baharu untuk negara.

--BERNAMA

Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir merupakan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)