TINTA MINDA

PENASIHAT SYARIAH PRASYARAT DALAM PELABURAN HALAL

21/10/2022 09:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani

Pelaburan adalah satu proses menggunakan sumber-sumber yang dimiliki untuk mencapai keuntungan dan pengembangan kekayaan. Ia meliputi aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perniagaan, pengeluaran barangan, perkhidmatan, pembiayaan, pelaburan dan sebagainya. Dalam konteks pelaburan Islam, ianya bermaksud pelaburan dan aktiviti ekonomi yang menepati kehendak Syariah iaitu tiadanya unsur gharar (tidak jelas), maisir (perjudian), riba, tidak memenuhi syarat-syarat dan rukun kontrak atau aqad dan sebagainya dari segi mikro di samping memenuhi maksud dan objektif Maqasid Syariah dari segi makronya.

Perkembangan teknologi mudahkan urusan pelaburan

Dengan perkembangan teknologi, banyak pelaburan yang dahulunya perlu melalui proses tertentu menerusi khidmat orang tengah yang dilantik menjadi lebih mudah dengan adanya program komputer dan telefon pintar serta aplikasi (apps) yang boleh dimuat turun sendiri. Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses untuk mendapatkan hasil terbaik, bahkan ia juga menjimatkan dan akhirnya melahirkan masyarakat celik pelaburan, menguasai teknologi semasa dan terdedah kepada perkembangan terkini negara dan dunia.

Dalam memilih pelaburan yang patuh Syariah, masyarakat di Malaysia dikira bertuah kerana negara ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang maju dan sistem komprehensif dalam bidang kewangan Islam. Ia meliputi sistem perbankan Islam dan takaful, Pasaran Modal Islam (Islamic Capital Market), Pengurusan Kekayaan Islam (Islamic Wealth Management) dan lain-lain. Ianya juga dilimpahi dengan tenaga pakar dan modal insan yang mempunyai kepakaran tinggi yang diiktiraf bukan setakat di Malaysia bahkan di peringkat dunia.

Ini adalah satu nikmat kepada pelabur iaitu sudah tiada ada lagi kebimbangan tentang status kehalalan pelaburan mereka kerana ia telah disahkan oleh para penasihat Syariah yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang pelaburan Islam. Begitu juga melalui kerangka tadbir urus Syariah (Shariah Governance) yang mapan bagi industri perbankan, takaful dan pasaran modal Islam, maka tiada sebab lagi untuk para pelabur berasa ragu dengan status pematuhan Syariah bagi produk yang mereka langgani.

Namun bagi pelaburan yang tidak mempunyai penasihat Syariah yang dilantik, atau pelaburan yang tidak mempunyai tadbir urus Syariah yang baik maka pihak pelabur perlu berhati-hati dengan pelaburan yang mereka ceburi. Ini kerana di luar sana terdapat pelbagai jenis pelaburan yang ditawarkan, baik pelaburan dalam pertukaran asing (foreign exchange), pelaburan dalam komoditi tertentu, pelaburan emas, dalam sektor hartanah, agrikultur dan sebagainya.

Terdapat produk yang mematuhi Syariah dan ada pula produk yang mempunyai unsur gharar (tidak jelas), penipuan, riba, manipulasi, maisir (judi) dan sebagainya yang berlindung di bawah skim cepat kaya. Skim-skim yang mempunyai unsur-unsur penipuan (scam), permainan wang (money game) dan sebagainya ini pada kebiasaannya menawarkan keuntungan yang besar, dalam masa yang singkat dan mudah tanpa perlu melalui tapisan yang ketat. Di sinilah ramai pihak yang tertipu menyebabkan hangusnya simpanan hari tua, kehilangan wang yang banyak, lebih teruk lagi dalam sesetengah keadaan membawa kepada masalah sosial seperti pergaduhan rumah tangga, kemurungan, tekanan mental dan sebagainya.

Kepentingan penasihat Syariah bertauliah

Kepentingan sesuatu pelaburan itu mempunyai penasihat Syariah yang berkelayakan adalah jelas kerana tugas penasihat Syariah ialah memastikan aktiviti pelaburan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Syariah dari segenap aspek. Ia bukan hanya aspek kehalalan produk sahaja bahkan meliputi aspek akad-akad yang digunakan, promosi, risiko pelaburan, perlindungan kepada pelabur dari segi aspek perundangan dan sebagainya. Tugas-tugas ini bukanlah mudah justeru ianya memerlukan golongan yang pakar yang mengetahui selok belok kewangan semasa, mempunyai pengalaman yang luas dan mendapat kelulusan tertentu yang diiktiraf kerajaan seperti kelayakan CSA (Certified Shariah Advisor) yang dikeluarkan oleh ASAS (Association of Shariah Advisors in Islamic Finance), CSAA (Certified Shariah Advisor and Auditor) yang dikeluarkan oleh AAOIFI dan sebagainya.

Ini kerana kewangan dan pelaburan semasa adalah sangat kompleks dengan produk dan konsep yang pelbagai justeru tidak memadai hanya mengetahui apa yang ada di dalam penulisan sarjana-sarjana dan ulama klasik sahaja bahkan perlu diadunkan dengan praktis dan perubahan landskap kerangka kewangan semasa. Para penasihat Syariah juga perlu mempunyai pendedahan mencukupi mengenai aspek perundangan semasa termasuk berkaitan akta-akta dan undang-undang yang terlibat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Ini demi memastikan kontrak-kontrak yang termeterai antara pihak-pihak yang berkontrak mempunyai asas dan punca kuasa dan boleh dilaksanakan dari segi perundangan.

Selain mempunyai penasihat Syariah yang berkelayakan setiap pelaburan juga perlu berlandaskan kepada tadbir urus pematuhan Syariah yang baik, ia bagi mengelak kes pelaburan emas Geneva Gold yang akhirnya berubah menjadi pelaburan cepat kaya berulang. Ini kerana segala keputusan yang telah diputuskan oleh penasihat Syariah perlu dipatuhi oleh syarikat sepanjang masa. Tanpa adanya pemantauan dan semakan serta audit berkala maka ada kemungkinan keputusan Syariah tidak dipatuhi terutamanya apabila keputusan tersebut boleh menyebabkan syarikat mengalami kerugian atau tidak bebas melakukan aktiviti yang disukai mereka walaupun ia bertentangan dengan Syariah. Justeru bagi penasihat Syariah, selain memastikan produk yang ditawarkan adalah patuh Syariah, mereka juga perlu memastikan Maqasid Syariah daripada produk tersebut terpelihara. Selain itu, mereka juga perlu memastikan produk tidak dijadikan sebagai batu loncatan sahaja untuk mendapatkan dana dan modal bagi aktiviti makro yang tidak patuh Syariah.

Ini bermaksud penasihat Syariah juga perlu memastikan produk dan aktiviti pelaburan yang diluluskan mereka membawa manfaat dari segi ekonomi sebenar (real economy), memberi manfaat kepada golongan susah, menjaga alam sekitar, pembangunan dan kelestarian (Sustainable Development Goal), perbankan berasaskan nilai (Value based intermediation) dan sebagainya.

Mereka juga sewajarnya perlu mempunyai kuasa dalam penentuan perjalanan perniagaan dan pembuat keputusan peringkat tertinggi dalam syarikat terutama dalam aspek Syariah. Ini bagi memastikan tadbir urus Syariah yang baik dapat dilaksanakan dalam peringkat tertinggi pembuat keputusan. Dalam soal ini, amalan perbankan Islam boleh dijadikan sebagai contoh (best practice) iaitu mereka mempunyai fungsi-fungsi Syariah seperti audit, semak (review) dan pengurusan risiko Syariah. Bahkan dari segi garis pelaporan (reporting line) juga sangat tersusun bagi memastikan kedudukan penasihat Syariah berada di tempat sepatutnya, juga bagi menutup segala ruang untuk Syariah dimanipulasi. Bahkan juga sehingga tahap penasihat-penasihat Syariah ini dilantik ke peringkat tertinggi syarikat iaitu sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

Secara keseluruhannya, para pelabur perlu memastikan setiap pelaburan mereka adalah halal dan selari dengan tuntutan Syariah. Ini kerana hasil daripada pelaburan yang haram maka nerakalah tempatnya. Selain mempunyai kepakaran dan ilmu penasihat Syariah mereka juga perlu memastikan syarikat mempunyai persekitaran Syariah yang kondusif dengan mempunyai tadbir urus Syariah yang mapan, dan misi serta visi selari dengan tuntutan Syariah.

-- BERNAMA

Dr Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)